Khamis, 14 Januari 2016 | 1:48pm

Kerja bersih kawasan terjejas bauksit bermula


KAKITANGAN Alam Flora menjalankan kerja pembersihan akibat perlombongan bauksit di kawasan perumahan Kampung Padang, dekat Felda Bukit Goh.- Foto Zulkepli Osman

KUANTAN: Kerja pembersihan jalan dan kawasan yang terjejas akibat perlombongan bauksit giat dilakukan sejak jam 10 pagi tadi di sepanjang Jalan Bukit Goh berhampiran Tanjung Pasir, Kuantan.

Kira-kira 100 orang daripada pelbagai agensi kerajaan, antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Solid Waste Corporation (SWCorp), Alam Flora Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya terbabit dalam kerja pembersihan itu.

Pengarah JBPM negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin, berkata untuk hari pertama pihaknya menumpukan kawasan persimpangan Bukit Goh dan sekitarnya.

"Kami mengerahkan tujuh jentera bagi kerja pembersihan papan tanda, papan tunjuk arah, tiang lampu termasuk pencucian permukaan jalan.

"Kami cuba untuk menyelesaikan kerja ini dalam tempoh kurang sebulan seperti ditetapkan," katanya ketika ditemui, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, kerja pembersihan itu juga memberi fokus kepada jalan raya terjejas teruk seperti di Jalan Kuantan-Pelabuhan, Jalan Bukit Goh, Jalan Bukit Kuantan, Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan Bypass, Jalan Gebeng Bypass, Jalan Jerangau-Jabor dan Jalan Bukit Sagu-Cherul.

Berita Harian X