Khamis, 14 Januari 2016 | 1:40pm

Tun Razak pemimpin serantau

TUN Razak berbual dengan Perdana Menteri China, Chou En Lai ketika melawat Beijing pada 1974 bagi mengeratkan hubungan dengan China. - Foto NSTP/NIB

SECARA faktanya, ketika berusia 28 tahun (1950), Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sudah menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang dari Lincoln's Inn dan kembali ke tanah air untuk menyertai perkhidmatan awam sebelum dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Setahun kemudian, Tun Razak dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO dan menjangkau usia 30 tahun, beliau diberikan amanah lebih besar sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang sebelum memecah rekod dilantik sebagai Menteri Besar Pahang paling muda pada usia 33 tahun.

Apabila Parti Perikatan memenangi pilihan raya umum pertama pada 1955, beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan Kabinet pertama Tunku Abdul Rahman.

Berpengalaman luas

Bagi pakar sejarah dan pensyarah jabatan Sejarah Universiti Malaya, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, semua fakta itu membuktikan, beliau sudah cukup berpengalaman untuk menjadi pemimpin yang hebat walaupun ketika usianya masih muda.

"Beliau memainkan peranan sangat penting pada zamannya kerana ketika Tanah Melayu baru muncul sebagai negara bangsa, beliau sudah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

"Jadi, beliau dapat menjalankan urusan pentadbiran dengan begitu baik.

"Banyak urusan pentadbiran kerajaan diserahkan kepadanya dan beliau mampu menggalas tanggungjawab dengan baik," katanya yang mengakui bertuah kerana pernah berkhidmat pada era pemerintahan Tun Razak.

Walaupun tidak berpeluang untuk mengenali Tun Razak secara lebih dekat, Kay Kim menganggap Perdana Menteri Kedua itu sebagai seorang yang sangat peramah, mudah mesra dan paling penting ialah beliau cukup dihormati kerana penuh dengan ilmu pengetahuan.

"Kriteria itu (berilmu) cukup penting bagi seorang pemimpin. Setiap kali kami bermesyuarat dalam apa-apa saja jawatankuasa berkaitan kerajaan, cukup terserlah ilmu pengetahuannya.

"Itu membuatkan mana-mana pegawai yang hadir mesti cukup bersedia. Jika tidak, kita akan malu sendiri jika gagal atau tidak tahu jawapan kepada soalan yang ditanya," katanya.

Baginya, untuk menjadi seorang pemimpin apatah lagi perdana menteri, seseorang individu itu perlu faham sepenuhnya soal pentadbiran, jika tidak ia akan menjadi masalah dan menimbulkan kesukaran.

Tetapi, Tun Razak memiliki pakej lengkap serta penuh dengan pengalaman untuk memimpin Malaysia yang baru saja mencapai kemerdekaan.

PROFESOR Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim. - Foto Saifullizan Tamadi

Galas tugas berat

Atas kebolehan serta kelayakan itu, Allahyarham turut dipilih menyertai rombongan ke London untuk menuntut kemerdekaan pada tahun 1956. Apabila negara merdeka (1957), beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Personaliti lemah lembut, berilmu serta rapat dengan rakyat membuatkan Tun Razak menjadi antara pemimpin idola Kay Kim selain Tunku Abdul Rahman.

"Dahulu, tidak ramai yang berani 'angkat muka' apabila berhubung dengan pegawai British. Tetapi Tun Razak dan Tunku (Abdul Rahman) cukup dihormati British, mereka berpelajaran, berkeyakinan. Mereka bukannya sembarangan orang," katanya.

Bagaimanapun, sejarawan itu agak kesal kerana ramai tokoh hebat yang seangkatan dengan Tun Razak atau selepasnya tidak begitu dikenali atau dikenang oleh generasi sekarang.

Sepatutnya, mereka menjadikan semangat, jasa serta pengorbanan tokoh hebat itu panduan untuk terus bersama-sama memajukan negara terutama dalam aspek bagaimana mengekalkan perpaduan.

"Lihatlah bagaimana Tun Razak menangani isu perpaduan kaum, terutama selepas peristiwa 13 Mei 1969. Beliau bersungguh-sungguh mahu semua rakyat bersatu padu dan hidup aman damai.

Rahsiakan penyakit

"Beliau tidak mahu rakyat tidak dalam keadaan susah dan tidak aman, sedangkan beliau sendiri menyembunyikan penyakit (leukemia) yang dihidapi sehinggalah beliau meninggal dunia. Rakan rapat sendiri tidak tahu mengenai penyakit itu.

"Beliau sanggup berkorban dan terus bekerja untuk rakyat walaupun dalam keadaan tidak begitu sihat. Bukankah itu suatu pengorbanan yang cukup besar," katanya yang meluahkan rasa kecewa kerana unsur perpaduan tidak begitu diambil berat pada era ini.

Beliau memberikan contoh bagaimana konsep perpaduan yang diterapkan Tun Razak dalam sistem pendidikan tidak begitu diutamakan dalam pendidikan negara sebaliknya mereka hanya fokus kepada pendidikan sains sains.

"Mereka hanya fokus kepada sains. Itu saja yang penting. Dalam sistem pendidikan, hanya peperiksaan yang penting, bukannya pembinaan negara bangsa.

"Sedangkan itulah (perpaduan) asas kepada pembinaan sebuah negara maju. Pemimpin dahulu sudah membuat garis dasar, kita patut teruskan, mungkin dengan cara berbeza," katanya.

Berita Harian X