Khamis, 14 Januari 2016 | 8:07am

Kemalangan maut di Lebuhraya AKLEH

KUALA LUMPUR: Satu kemalangan maut dilaporkan berlaku di Kilometer 4.7 Lebuhraya AKLEH arah Ampang menyebabkan aliran trafik di lebuh raya itu mula perlahan di kedua-dua arah, pagi ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi laman Twitternya melaporkan kemalangan itu pada jam 7.05 pagi dan menasihatkan pemandu lebih berhati-hati serta tidak memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan bagi mengelak berlaku kesesakan.

LLM pagi ini turut melaporkan laluan dari NKVE ke Kayu Ara dan laluan di Lebuhraya LKSA dari Bulatan Jubli Perak ke Bulatan Selangor, mulai perlahan akibat pertambahan kenderaan.

Sementara itu, PLUS Berhad menerusi Twitternya, @plustrafik melaporkan satu kemalangan berlaku di laluan selepas masuk Tol Simpang Ampat kira-kira jam 6.30 pagi tadi, bagaimanapun keadaan trafik di situ masih terkawal.

Aliran trafik selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar serta ke Lebuhraya Metramac dilaporkan sudah mulai perlahan bermula sekitar jam 6.30 pagi tadi dan kesesakan dijangka bertambah.

Keadaan sama turut dilaporkan berlaku di laluan selepas Plaza Tol Batu Tiga di Lebuhraya Persekutuan menuju Sunway serta ibu negara dan laluan selepas Plaza Tol Damansara menuju Lebuhraya Sprint.

Pada jam 7.19 pagi, @plustrafik melaporkan aliran trafik mula sibuk dari Permatang Pauh ke Perai dan di atas Jambatan Pulau Pinang menuju pulau.

Selain itu, kesesakan turut dilaporkan berlaku dari Tambak Johor menuju ke Woodland, Singapura.

Kesesakan trafik turut dilaporkan berlaku di Lebuhraya ELITE menuju Putra Height dan USJ dan menuju Seafield.

Justeru, orang ramai diminta berhati-hati memandu dan bersabar ketika terperangkap dalam kesesakan yang dijangka berlarutan hingga jam 10 pagi.

Berita Harian X