Rabu, 13 Januari 2016 | 6:35am

Kawal belanja elak 'biar papa asal bergaya'


- Gambar hiasan

Kos sara hidup dilihat sebagai isu paling utama di negara ini. Sebenarnya Malaysia bukanlah negara tunggal menghadapi cabaran ini kerana ia turut membelenggu masyarakat global. Tidak adil juga dakwaan Malaysia menuju krisis ekonomi berikutan penurunan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa dan penyusutan nilai ringgit.

Rakyat harus melihat usaha kerajaan mengurangkan apa yang perlu dalam soal kos sara hidup. Kita juga kena ubah gaya hidup. Kerajaan sudah dan sedang melaksanakan prinsip ubah gaya hidup. Contohnya, bagi keperluan hidup dan kebajikan rakyat, antara disediakan ialah kedai rakyat 1Malaysia (KR1M), kad diskaun rakyat 1Malaysia (KDR1M), kedai ikan rakyat 1Malaysia (KIR1M), menu rakyat 1Malaysia dan kedai kain rakyat 1Malaysia (KKR1M).

Kalau soal kesihatan, kita ada Klinik 1Malaysia, Klinik Bergerak 1Malaysia dan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia. Dalam hal penyediaan tenaga mahir dan peluang kerja - Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Program Transformasi Kedai Runcit, Program Belia Mahir 1Malaysia dan Teksi Rakyat 1Malaysia pun disediakan.

Kurang tabiat makan di luar

Semua orang kena terbabit. Kalau dahulu keluarga A gemar makan di restoran segera pada setiap hujung minggu, mungkin sekali dalam tempoh sebulan boleh dilaksanakan sekarang. Kalau gemar menelefon atau guna khidmat pesanan ringkas (SMS), boleh dikurangkan. Apa yang penting ialah sikap dan tindak-tanduk lebih proaktif menangani kos sara hidup ini mesti bermula daripada individu kemudian diserapkan dalam kalangan isi keluarga.

Pada setiap isi keluarga itu pula diperkembangkan kepada komuniti penduduk dan masyarakat sehingga ke kelompok yang lebih besar. Sebab itu dalam soal keluarga dan wanita, kerajaan sudah pasti memperkasakan wanita sebagai kelompok elemen terpenting bagi kunci keberhasilan mengoptimumkan pengurusan hasil sumber institusi keluarga.

Polemik kemelut ekonomi yang menggandakan tekanan terhadap kesejahteraan hidup golongan miskin bandar, miskin tegar, orang kurang upaya (OKU), warga tua dan golongan terpinggir di luar bandar perlu menjadi perhatian utama. Sewajibnya proses melestarikan usahawan bandar dan luar bandar disokong dengan memudahkan dan melicinkan proses lesen perniagaan, pinjaman mesra usahawan dan perkembangan jaringan serta pemasaran perniagaan.

Penulis percaya cabaran getir ekonomi masa kini sememangnya membabitkan tekanan kepada indeks harga pengguna dan pelaksanaan percukaian era pasca-GST. Soal paling penting ialah usaha sama dioptimum untuk merealisasikan agenda satu keluarga satu usahawan dan keusahawanan mesra rakyat.

Perniagaan berimpak tinggi

Kerajaan diharapkan agar tidak menggalakkan usaha niaga atau projek berprioriti rendah sebaliknya menumpukan fokus kepada usaha niaga sedia ada yang berimpak tinggi kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Cakap-cakap retorik dalam kerajaan pun sudah mula dikurangkan. Seperti tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang pertama tahun ini mula dilaksanakan segera.

Dalam soal ini, jawatankuasa ini perlu memastikan usaha terus diambil untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat secara bersepadu dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO).

Sewajibnya kerajaan pandang serius perkara berkenaan, sentiasa komited serta proaktif mencari langkah untuk menangani isu terbabit yang sedang dialami rakyat. Diharap semua perkara yang dibincangkan akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Menangani Kos Sara Hidup sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet.

Paling penting setiap peringkat masyarakat, termasuk pelajar, miskin bandar dan mereka yang tergolong dalam kumpulan B40 (pendapatan bawah RM3,000) tidak tercicir.

Penulis ialah Ketua Penyelidik di Pusat Penyelidikan Strategik, sebuah badan pemikir bebas sosio media-politik

Berita Harian X