Selasa, 12 Januari 2016 | 8:02am

Derby berpotensi malukan United, Van Gaal


PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal (kanan) bersama pembantunya, Ryan Giggs sebelum sepakmula perlawanan Piala FA Inggeris bertemu Sheffield United, kelmarin. - Foto AFP

LONDON: Louis van Gaal berdepan satu lagi ujian yang mungkin boleh memalukan Manchester United pada saingan Piala FA selepas diundi menentang Derby County dalam pusingan keempat, awal pagi tadi.

Van Gaal dikecam peminat United selepas anak buahnya hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan divisyen tiga, Sheffield United dalam pusingan ketiga di Old Trafford, Sabtu lalu.

United memerlukan sepakan penalti yang disempurnakan Wayne Rooney pada masa kecederaan untuk menyelamatkan mereka daripada terpaksa mengharungi aksi ulangan berdepan pasukan dengan jolokan The Blades itu.

Namun, Derby yang kini dalam pemburuan untuk dinaikkan pangkat ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dijangka menawarkan satu lagi pertemuan sukar untuk barisan kendalian Van Gaal.

Derby, yang diurus oleh bekas penolong jurulatih Chelsea dan Real Madrid, Paul Clement berada di kedudukan kedua Liga Kejuaraan dalam usaha memburu ke saingan utama.

Penyandang juara Arsenal, yang menewaskan Sunderland 3-1 di pusingan ketiga dan memasang impian untuk menjulang trofi itu buat tahun ketiga berturut-turut, bakal menerima kunjungan Burnley.

Manchester City akan bertandang ke pasukan Liga Dua Wycombe atau Aston Villa yang terikat 1-1 Sabtu lalu.

Pemenang antara aksi ulangan membabitkan Liverpool menentang Exeter yang seri 2-2 akan melayani West Ham United.

Pasukan Liga Kebangsaan, Eastleigh, yang juga pasukan memiliki ranking terendah yang masih bersaing dalam pertandingan itu, menjadi tuan rumah kepada Leed United sekiranya mereka mampu mengetepikan cabaran Bolton dalam aksi ulangan.

Berikut undian Pusingan Keempat Piala FA:

West Brom/Bristol City mln Peterborough

Eastleigh/Bolton mln Leeds

Arsenal mln Burnley

Derby mln Man Utd

Huddersfield/Reading mln Walsall

Exeter/Liverpool mln West Ham

Wycombe/Aston Villa mln Man City

Shrewsbury mln Sheffield Wednesday

Nottingham mln Watford

Carlisle/Yeovil mln Everton

Crystal Palace mln Stoke

Oxford mln Newport C/Blackburn

Ipswich/Portsmouth mln Bournemouth

Colchester mln Tottenham/Leicester

Bury/Bradford mln Hull

Northampton/Milton Keynes Dons mln Chelsea

*Perlawanan berlangsung antara 29 Januari - 1 Februari 2016

Berita Harian X