Selasa, 12 Januari 2016 | 7:47am

Siapa pilihan Rooney?


Bintang Manchester United, Wayne Rooney.

ZURICH: Bintang Manchester United, Wayne Rooney, mengundi tiga pengurus yang dikaitkan sebagai pengganti Louis van Gaal selaku pengendali United bagi anugerah jurulatih terbaik dunia pada majlis Anugerah Ballon d'Or, pagi tadi.

Penyerang berusia 31 tahun itu memilih bekas pengendali Chelsea, Jose Mourinho, selaku pilihan utamanya, diikuti Pep Guardiola sebagai pilihan kedua dan jurulatih Chile, Jorge Sampaoli di tempat ketiga.

Namun, Rooney tidak mengundi pemenang anugerah terbabit iaitu Luis Enrique meskipun dia membimbing Barcelona memenangi tiga kejuaraan musim lalu.

Rooney turut mengundi Lionel Messi selaku pilihan utama pemenang Ballon d'Or, tetapi meletakkan bekas rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo di tempat ketiga. Pemain Bayern Munich iaitu Thomas Muller menjadi pilihan keduanya.

Ronaldo pula memilih Carlo Ancelotti bagi anugerah jurulatih terbaik dunia, diikuti Mourinho dan Guardiola manakala anugerah pemain terbaik, dia memilih rakan sepasukannya iaitu Karim Benzema, James Rodriguez dan Gareth Bale.

Messi yang dinobat sebagai pemain terbaik pula, mengundi Enrique selaku pilihan utama disusuli dengan Sampaoli dan seterusnya pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone.

Sama seperti Ronaldo, Messi turut memilih rakan sepasukannya di Barcelona iaitu Luis Suarez, Neymar dan Andres Iniesta untuk anugerah pemain terbaik.

Bagi seorang lagi calon pemenang Ballon d'Or iaitu Neymar, dia memilih Messi, Suarez dan Ivan Rakitic.

Pilihan pengendali England, Roy Hodgson pula meletakkan Ronaldo sebagai pilihan utama, diikuti Messi dan juga pemain sayap Chelsea, Eden Hazard.

Pengendali Wales, Chris Coleman pula membuat kejutan dengan tidak menyenaraikan Messi, namun memilih Bale sebagai pemain terbaik dunia diikuti Ronaldo dan juga Hazard. - Agensi

Berita Harian X