Selasa, 12 Januari 2016 | 12:11am
Tapak semaian pokok di PKKN Sungai Buloh. - Foto Asyraf Hamzah
PEKERJA warga asing yang mendiami dan mengusahakan tanah untuk kegiatan tanaman komersial di Pusat kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh. - Foto Asyraf Hamzah
TAPAK bekas rumah pesakit kusta di Sungai Buloh yang dijadikan tapak semaian. - Foto Asyraf Hamzah
PEKERJA asing bekerja di tapak semaian di PKKN Sungai Buloh. - Foto Asyraf Hamzah
LOKASI tapak semaian haram.

PKKN: Hutan simpan juga diceroboh


KUALA LUMPUR: Pengusaha nurseri dan pekerja asing yang menduduki kawasan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) turut menceroboh Hutan Simpan Lagong, dipercayai untuk kegunaan perniagaan mereka.

Tinjauan BH mendapati sebahagian tanah berbukit di pinggir hutan simpan itu dibersihkan dan ada kesan pengorekan tebing tanah di situ yang dipercayai digunakan untuk perniagaan nurseri.

Selain itu, tanah yang diambil dari situ juga dilihat dibungkus untuk dijual kepada pelanggan sebagai tanah tanaman pokok hiasan.

Tinjauan juga mendapati ada beberapa pondok kecil dibina sebagai tempat memproses tanah dari bukit.


Kawasan lapang digunakan sebagai lokasi penanaman rumput komersial. - Foto Asyraf Hamzah

Sementara itu jurucakap Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) berkata pihaknya tidak pernah memberikan sebarang kelulusan kepada mana-mana pihak, apatah lagi warga asing melakukan apa juga kegiatan di hutan simpan terbabit.

Katanya, pihaknya akan menyiasat pencerobohan berkenaan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.

"Kawasan di belakang PKKN adalah hutan simpan, namun kami perlu menyiasat bagi memastikan tanah itu diceroboh," katanya.

BH semalam mendedahkan mengenai kawasan PKKN yang pernah menjadi kawasan larangan sejak tahun 1926 kerana menempatkan koloni pesakit kusta dari seluruh negara diceroboh warga asing yang bekerja di tapak nurseri di situ.

Rumah yang tidak didiami pesakit kusta itu diceroboh warga asing sejak lebih 10 tahun lalu dan mereka membuat sambungan bekalan air dan elektrik secara haram, menurut sumber yang rapat dengan PKKN.


KEADAAN pencerobohan di tapak bekas rumah pesakit kusta di Sungai Buloh. - Foto Asyraf Hamzah

Jurucakap itu berkata mereka yang menceroboh hutan simpan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 yang boleh didenda sehingga RM10,000.

Bagi kesalahan menjalankan aktiviti di dalam hutan simpan kekal, mengambil atau memindahkan hasil hutan, pesalah boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Penduduk mahu pihak berkuasa bertindak

Sementara itu, beberapa penduduk berdekatan PKKN dan bekas pesakit kusta bimbang kehadiran warga asing di situ boleh menimbulkan masalah sosial lain terutama keselamatan.

Malah, sebahagian penduduk dan pesakit mendakwa pernah merujuk perkara itu kepada pihak berwajib termasuk Hospital Sungai Buloh (HSB) dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), namun tiada penyudahnya.

Bekas pesakit kusta yang menetap di Kampung Bahagia Bukit Langong yang hanya mahu dikenali sebagai Hamid, 65, berkata kurangnya penguatkuasaan mengundang menjadi punca bilangan pekerja asing di kawasan itu bertambah.

Malah, beliau yang pernah menginap di PKKN sejak usianya 17 tahun berkata pencerobohan kawasan penempatan kusta itu sebenarnya sudah berlaku sejak akhir 1970-an.


Rumah bekas pesakit kusta yang didiami pekerja asing menerima elektrik dari sambungan haram. - Foto Asyraf Hamzah

"Sejak pesakit kusta mula berkurang iaitu pada akhir 1970-an kerana pulih dan meninggal dunia, ramai warga asing mula memasuki secara haram kawasan penempatan di sana.

"Mereka mengambil tapak-tapak milik pesakit untuk dijadikan lokasi menanam sayuran, dan kini berubah kepada rumput dan pokok hiasan," katanya yang menjadi antara penduduk asal di kampung berkenaan sejak 40 tahun lalu.

Penduduk asal yang juga bekas pesakit kusta, mahu dikenali sebagai Baharom berkata, ketika ini hanya ada sebilangan kecil pesakit warga tempatan yang masih menginap di kawasan PKKN.

"Mereka guna tapak bagi tanaman sayur dan betik untuk jalankan aktiviti pertanian (tanam rumput dan pokok hiasan). Majoriti warga asing adalah dari Indonesia," katanya.


Salmah Salleh - Foto Asyraf Hamzah

Salmah Salleh, 67, turut menyuarakan keresahannya apabila sebahagian kawasan kampungnya turut dijadikan tempat perlindungan mereka, selain di PKKN.

"Sepatutnya ini tidak berlaku, sebaiknya kawasan ini diroboh dan dikosongkan, tapi hari ini seperti tidak apa-apa. (Di kampung) kami kena bayar elektrik dan air, beli tanah, tapi mereka tidak, boleh tinggal senang lenang di sini.

Jawapan Kementerian Kesihatan

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam penjelasannya berkata penguatkuasaan dan pengawasan terhadap pencerobohan di PKKN adalah sangat kompleks berikutan keluasannya sehingga 227 hektar.

Katanya, PKKN sudah mengambil langkah berdasarkan bidang kuasanya dengan memotong bekalan elektrik dan air ke kawasan kediaman pesakit kusta.


TAPAK semaian pokok hiasan yang didalangi penduduk tempatan dan mengambil pekerja asing sebagai pekerja mereka. - Foto Asyraf Hamzah

Bagaimanapun, katanya, pengusaha tanaman dan warga asing membuat penyambungan secara haram pula untuk menduduki kawasan berkenaan.

Justeru, katanya, kementerian memerlukan kerjasama daripada pihak berkuasa bagi menjalankan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

"Isu pencerobohan PKKN ini sudah diutarakan kepada pihak berkuasa dan kerjasama mereka adalah sangat penting agar pencerobohan ini dapat dihentikan.

"Selain itu, kementerian yakin pencerobohan seumpamanya dapat dielakkan jika tanah kosong yang sudah ditinggalkan ini dibangunkan," katanya.

Beliau berkata beberapa siri pembangunan sudah dilaksanakan, antaranya membabitkan pembinaan Hospital Sungai Buloh yang baharu, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Fakulti Pergigian UiTM serta Kompleks Kuarters Integrasi.


Pencerobohan di tapak rumah bekas pesakit kusta di PKKN Sungai Buloh. - Foto NSTP

Dr Noor Hisham berkata, kementerian juga sudah mengenal pasti tapak untuk perancangan projek pada masa depan iaitu sebuah tempat letak kereta bertingkat, Makmal Penyakit Berjangkit serta tambahan Kompleks Kuarters Integrasi yang sekali gus mampu mengurangkan kegiatan pencerobohan di situ.

Beliau berkata dengan adanya projek ini, tanah di PKKN akan diguna pakai dan dibangunkan untuk kepentingan kementerian.

Berita Harian X