Isnin, 13 Oktober 2014 | 3:21pm

Rafizi dilantik Setiausaha Agung PKR, Saifuddin pengarah pilihan raya


Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengumumkan Naib Presiden parti, Rafizi Ramli dilantik sebagai Setiausaha Agung baharu bagi penggal 2014-2017 menggantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata, Saifuddin dan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula dilantik sebagai pengarah pilihan raya parti.

Kekosongan tempat Rafizi sebagai Pengarah Strategi PKR diambil alih oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking dipilih mengisi jawatan Naib Presiden bagi kuota lantikan.

PKR juga melantik Saifuddin; dua EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail dan Amirudin Shari, Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, Mohdak Ismail dan Mustapha Sakmud sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat parti.

938 dibaca
Berita Harian X