Isnin, 11 Januari 2016 | 11:25am

Klopp panggil balik Ward, tekan Mignolet, Bogdan


PENJAGA gol, Danny Ward menjadi pilihan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, akan memanggil semula penjaga gol, Danny Ward, yang dipinjamkan ke kelab Scotland, Aberdeen, sekali gus meletakkan lebih tekanan kepada penjaga gol utama pasukan itu, Simon Mignolet.

Tindakan itu diambil selepas persembahan buruk yang ditampilkan penjaga gol kedua Liverpool, Adam Bogdan, pada aksi menentang Watford dan Exeter City, minggu lalu selain Mignoet turut berdepan masalah prestasi yang tidak konsisten.

Penjaga gol kelahiran Wales itu menandatangani kontrak baharu bersama Liverpool pada musim panas lalu dan dipinjamkan ke Aberdeen untuk peluang bermain di pasukan utama dan rekod cemerlangnya di Scotland menyaksikan dia mencatat 12 perlawanan tanpa bolos musim ini.

Bercakap kepada Sportsmail tiga minggu lalu, Ward menyatakan hasratnya untuk menjadi penjaga gol nombor satu Liverpool.

"Saya percaya saya mampu bermain dalam pasukan ini dan bersama Liverpool, ianya sudah pasti satu peluang yang tidak patut disia-siakan.

"Mereka memberikan saya kontrak jangka panjang sebelum saya ke Aberdeen, jadi ini menunjukkan saya mempunyai peluang untuk beraksi di sini satu hari nanti," katanya.

Bogdan yang berasal dari Hungary dan diikat secara percuma dari Bolton, menampilkan persembahan kurang memberangsangkan ketika Liverpool tewas 3-0 di tangan Watford, bulan lalu selain dia turut bolos daripada sepakan sudut ketika aksi menentang Exeter City dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, minggu lalu.

Mignolet turut dikritik legenda Liverpool, Bruce Grobbelaar, yang menyatakan dia tidak memiliki pakej yang lengkap untuk menjadi penjaga gol terbaik, namun Liverpool meminta Grobbelaar menarik semula kenyataan terbabit. -Agensi

Berita Harian X