Isnin, 11 Januari 2016 | 12:10am
ANTARA tanaman rumput yang diusahakan warga asing di PKKN, Sungai Buloh.

Koloni pekerja asing 'tawan' Pusat Kusta


SUNGAI BULOH: Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di sini, pernah menjadi kawasan larangan sejak tahun 1926 kerana menempatkan koloni pesakit kusta dari seluruh negara hingga tiada lagi kes baharu penyakit itu dikesan pada 1996.

Namun, di sebalik suasana yang semakin menghijau sekitar kawasan pusat terbabit kerana jumlah pesakit kusta di situ sudah berkurangan kepada 60 orang, PKKN seluas 227 hektar itu kini umpama "ditawan" pekerja warga asing.

Ini kerana, ratusan rumah yang dibina kerajaan bagi menempatkan pesakit kusta, diambil alih pekerja asing yang didalangi pihak tertentu sambil memanfaatkan kemudahan asas yang disediakan di situ seperti air dan elektrik secara percuma.

Sumber rapat dengan PKKN, berkata secara keseluruhan ketika ini ada kira-kira 200 rumah di situ tetapi hanya 60 masih menempatkan baki pesakit kusta yang kebanyakannya semakin uzur kerana dimamah usia.


RUMAH jagaan pesakit kusta yang di sediakan di Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh. - Foto Saddam Yusof

Katanya, baki rumah yang tidak didiami pesakit kusta itu diceroboh warga asing dan pencerobohan terbabit bukan perkara baru, sebaliknya berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

"Setiap kali berlaku kematian membabitkan pesakit kusta di sini, laporan mengenainya akan dibuat oleh petugas PKKN sebelum rumah terbabit dikunci dan dipotong bekalan air serta elektrik oleh pentadbiran Hospital Sungai Buloh (HSB).

"Namun, sebaik menyedari kediaman terbabit kosong, warga asing akan menceroboh masuk untuk mendiaminya sebelum menyambung bekalan air dan elektrik secara haram.

"Penceroboh juga akan membaiki sebarang kerosakan kediaman untuk keselesaan mereka. Mereka kemudian mengusahakan tanah milik PKKN sekitarnya sebagai nurseri tanaman rumput dan bunga hiasan.

"Selain itu, ada juga warga tempatan mendiami kediaman bekas pesakit kusta ini yang dipercayai ahli kumpulan samseng yang ditugaskan menjaga warga asing dan kepentingan pihak yang mengusahakan nurseri di situ," katanya.


ANTARA pekerja asing yang mengusahakan tanaman rumput di tapak bekas rumah pesakit kusta di Sungai Buloh.

Beliau mendakwa, sebelum ini pihak berkuasa pernah dilihat menjalankan operasi di kawasan terbabit tetapi pekerja asing yang mendiami tanah PKKN di situ seolah-olah kebal dan tidak takut kepada undang-undang.

Katanya, setiap kali operasi dilancarkan, kebanyakan pekerja asing di situ akan melarikan diri dan bersembunyi di dalam hutan simpan berdekatan sebelum keluar semula selepas beberapa hari.

"Kawasan ini kelihatan menjadi tumpuan segelintir penjawat awam tertentu yang mempunyai urusan peribadi dengan pihak yang menjalankan aktiviti nurseri haram sekitar tanah PKKN.

"Aduan mengenai pencerobohan rumah yang sepatutnya sudah dikosongkan itu, hanya diambil tindakan secara menampal notis pengosongan tanpa sebarang tindakan susulan bagi memastikan kediaman itu benar-benar dikosongkan," katanya.

Tinjauan BH ke kawasan PKKN mendapati ada beberapa rumah yang ditampal dengan notis berwarna merah tertera tulisan 'Amaran Terakhir' yang dikeluarkan oleh pentadbiran HSB.

Sekali imbas, kawasan hadapan rumah itu memang kelihatan berkunci seolah-olah tidak berpenghuni, tetapi tinjauan di bahagian belakangnya mendapati ia masih didiami warga asing.

Begitu juga dengan rumah lain, meskipun kelihatan usang, ia masih didiami warga asing dan kebanyakan mereka menggunakan pintu belakang rumah sebagai laluan utama untuk keluar masuk.

Boleh dikatakan hampir 80 peratus kawasan itu didiami warga asing kerana sepanjang seharian tinjauan dilakukan, wartawan BH langsung tidak nampak kehadiran pesakit kusta di luar rumah, apatah lagi bekerja di sekitar kawasan ini.

Kawasan sekeliling rumah atau tanah lapang di situ digunakan warga asing untuk menjalankan kegiatan menanam rumput dan bunga hiasan. Mereka menggunakan sumber air yang disambung dari saluran paip sedia ada.


ANTARA kediaman yang dipercayai diceroboh warga asing yang mengusahakan tanah di Sungai Buloh.

Pekerja warga asing menyambung sendiri saluran paip sebagai punca air untuk disalurkan ke kawasan tanaman selain sambungan elektrik di setiap rumah.

Tinjauan pada waktu malam pula mendapati keseluruhan rumah di situ mempunyai bekalan elektrik dan tidak terkecuali ada yang dilengkapi kemudahan televisyen berbayar dan internet.

Kawasan bukit bersempadan dengan PKKN pula digondol secara terang-terangan untuk mendapatkan tanah dan tinjauan mendapati ia bertujuan dijual kepada pengusaha tanaman di situ.

Kawasan penanaman rumput dan pokok hiasan turut dikhuatiri memasuki kawasan hutan simpan yang bersempadan dengan PKKN, selain kawasan rizab perkampungan Orang Asli.

Situasi sekitar PKKN itu menimbulkan persoalan sama ada wujud campur tangan pihak tertentu atau berlakunya penyelewengan kuasa menyebabkan aktiviti warga asing menguasai kawasan itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Mengambil upah menanam rumput dan pokok hiasan adalah pekerjaan utama pekerja asing yang mendiami kediaman bekas pesakit di penempatan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di sini, sejak beberapa tahun lalu.

Sebahagian besar kediaman itu yang kini sudah uzur dan kosong dijadikan tempat mereka untuk menetap dan berteduh.

Berdasarkan tinjauan BH di kawasan itu selama dua hari, mendapati sebahagian pekerja di situ mengakui menetap di situ sejak lebih lima tahun lalu.

Lelaki dikenali sebagai Pak Amin, 50-an, dalam kalangan pekerja asing di situ, mendakwa berasal dari selatan Surabaya, Indonesia, dan sudah menetap di kawasan terbabit sejak 10 tahun lalu.

Sepanjang mendiami rumah yang dahulunya dikhaskan kepada pesakit kusta, beliau menjalankan aktiviti menanam rumput yang kemudian dijual kepada pemborong tempatan termasuk syarikat swasta dan individu.

Beliau berkata, keadaan kawasan penempatan itu yang tidak berbukit dan rata memudahkan kerja-kerja penanaman rumput hiasan.

"Untung itu tidaklah seberapa kerana setiap petak (merujuk rumput hiasan) dijual pada harga borong iaitu RM1 hingga RM1.50 sepetak.

"Jadi dengan kawasan sekitar rumah ini yang tidak sebesar mana dan terhad, jadi ia (pendapatan dan keuntungan yang diperoleh) hanya cukup-cukup makan," dakwanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau mengakui aktiviti menanam pokok hiasan ini memerlukan bekalan air yang banyak terutama ketika musim panas, bagi membolehkan ia tumbuh dengan sempurna dan tidak kering.

"Sehari sekurang-kurangnya tiga kali siraman air ke atas rumput itu iaitu pagi petang dan malam. Tetapi bagi musim hujan, sehari sekali sudah memadai," katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya lebih lanjut mengenai sumber bekalan air itu diperoleh, Pak Amin hanya menjawab, "itu semua bos uruskan, saya kerja saja".

Rakannya, Rahim yang juga berasal dari Surabaya, Indonesia, mendakwa dibayar RM700 hingga RM900 sebulan sejak membantu bapa saudaranya mengusahakan tanaman rumput hiasan.

Beliau yang pernah bekerja di sebuah ladang dekat Hulu Langat, Selangor selama tiga tahun sebelum berpindah ke kawasan itu sejak empat tahun lalu, mendakwa pendapatannya bergantung kepada jumlah jualan rumput itu.

"Alhamdulillah pak.. ada masa gaji tinggi, ada masa kurang, bergantung pada jualan rumput," katanya sambil menunjukkan kepada wartawan ke arah kawasan tanaman rumput seluas kira-kira 1,500 kaki persegi yang sedia dijual kepada seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur.

Antara jenis rumput yang ditanam di sekitar kawasan penempatan itu adalah dari jenis Philippines Grass atau rumput karpet serta cow grass.

Sementara itu, anak muda dari Jawa Barat, Indonesia, hanya mahu dikenali sebagai Firdaus sudah berkerja di tapak semaian bunga atau nurseri berhampiran kawasan kediaman itu sejak sembilan bulan lalu.

Beliau juga mengakui tinggal di salah sebuah rumah di penempatan PKKN itu sebagai kediamannya.

Info

  • Merangkumi kawasan keluasan 227.4 hektar
  • Diisytiharkan oleh kerajaan pada tahun 1926 sebagai tempat pengasingan koloni kusta mengikut Enakmen Kusta 1926, pesakit kusta perlu diasingkan.
  • Lebih 5,000 pesakit kusta dari seluruh negara yang ditempatkan di kem pengasingan lain seperti Setapak, Pulau Jerejak, Pulau Pangkor, Tumpat dan Tampoi dipindahkan di mukim Gombak iaitu di Lembah Sungai Buloh Leprosarium (Lembah Harapan).
  • Mereka diasingkan di situ kerana pada masa itu masih belum ada ubat yang boleh menyembuhkan kusta.
  • Leprosarium Sungai Buloh dibuka secara rasmi oleh Dr Gordon Alexander Ryrie, Penguat Kuasa Perubatan pertama pada 16 Ogos 1930.
  • Walaupun kawasan PKKN di Sungai Buloh agak terpencil dan mereka diasingkan dalam satu kawasan berpagar tinggi, PKKN adalah sebuah penempatan terancang yang lengkap
  • seperti sebuah taman perumahan moden dengan hospital, rumah kediaman, rumah ibadat, kelab dan dewan orang ramai.

  • Ada juga pasar, bangunan membasuh (dobi), kedai, balai polis, penjara dan pesakit kusta hidup secara bebas dengan kediaman yang disediakan, bercucuk tanam dan bergaul sesama mereka di bawah pengawasan pegawai perubatan.
  • PKKN Sungai Buloh menjadi sangat penting kerana ia yang pertama seumpamanya di dunia sehingga perancangannya menjadi model kepada pusat kusta di serata dunia.
  • Kediaman pesakit direka berdasarkan mengikut keperluan iaitu rumah kelamin berserta dapur, rumah kelamin tanpa dapur dan rumah bujang. Dapur disediakan bagi mereka yang mampu untuk masak kerana sebahagian pesakit tidak berkeupayaan sama ada tangan mereka telah cacat akibat kusta atau telah uzur.
  • Penemuan ubat Dapsone pada tahun 1940 membolehkan pesakit kusta di Lembah Harapan Sungai Buloh mendapatkan rawatan yang diperlukan sepanjang hayat.
  • Pada tahun 1969, Program Kawalan Kusta Negara dilancarkan di mana pesakit kusta boleh mendapatkan rawatan di mana-mana pusat kesihatan berhampiran tempat tinggal mereka dan tidak perlu ditempatkan di Sungai Buloh lagi. Penyakit kusta tidak lagi dianggap sebagai masalah kesihatan masyarakat.
  • Pada tahun 1983, Projek Rawatan Pengenalan dikenali Multiple Drug Therapy (MDT) diadakan. Atas kejayaan itu, pada tahun 1985, MDT mula digunakan di Malaysia.
  • Pada tahun 1994, PKKN mencapai matlamat WHO, iaitu kadar kejadian kes baru kusta berkurangan.
  • Pada tahun 1995, PKKN diintegrasikan ke dalam Perkhidmatan Perubatan & Kesihatan asas. Pada tahun 1996, tiada lagi kes baharu yang diterima masuk ke pusat ini.

Berita Harian X