Ahad, 10 Januari 2016 | 1:57pm

Suri rumah buka salun rambut muslimah ubah kehidupan


TIMBALAN Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib memotong kek ketika merasmikan kedai gunting Erin Hair Cut Muslimah Saloon di pusat latihan EMPOWER. - Foto Wan Kemat

MARAN: Berpegang pepatah 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan', seorang suri rumah, Nur Zainurin Mohd Zahid nekad mengubah kehidupan dengan menceburi bidang keusahawanan menerusi pembukaan salun rambut muslimah di sini.

Nur Zainurin, 34, membuka salun kecantikan 'Erin Hair Cut Muslimah Saloon' sejak lapan bulan lalu selepas mendapat latihan yang disediakan Program Pembangunan Wilayah Pantai Timur (EMPOWER- ECER) selama enam bulan.

Dia membuat kajian segi permintaan, potensi perniagaan dan untung jangka masa panjang seperti disarankan EMPOWER-ECER bagi membolehkan perniagaannya berdaya saing.

"Saya lihat salun rambut berkonsepkan muslimah ada potensi berikutan kesukaran kaum wanita mendapatkan khidmat menggunting rambut di kedai yang dikhususkan untuk golongan berkenaan.

"Saya mendapati kebanyakan kedai gunting menawarkan perkhidmatan menggunting pelanggan lelaki dan wanita yang menyebabkan ada kaum wanita malu untuk berkunjung ke premis berkenaan.

"Menerusi pembukaan salun ini, diharapkan kaum wanita di sini tidak lagi mempunyai masalah mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian premisnya oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran, berkata pembabitan wanita dalam perniagaan pada masa ini semakin meningkat dan ia adalah satu perkembangan positif dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pinjaman mudah dengan kadar faedah rendah seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Ekonomi Usajawan Nasional (TEKUN).

"Ada juga agensi diwujudkan bagi membantu dari segi latihan untuk meningkatkan daya saing usahawan termasuk wanita," katanya.

53 dibaca
Berita Harian X