Ahad, 10 Januari 2016 | 9:28am

TMJ kini pemilik pasukan JDT


TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, secara rasminya menjadi pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim, dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers (JST).

Ismail berkata, baginda yang sebelum ini adalah Penaung Diraja PBNJ, akan meneruskan misi dan visi yang sama demi pembangunan bola sepak Johor.

"Kami menjunjung tinggi usaha TMJ dalam memartabatkan lagi sukan bola sepak khususnya melalui pasukan JDT," katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, JST memaklumkan perbezaan daripada sebelumnya, kini struktur JDT adalah sebagai kelab sepenuhnya dan berasingan dengan PBNJ yang mengelolakan pembangunan bola sepak negeri secara keseluruhan.

Katanya, sebagai pemilik kelab JDT, Tunku Ismail akan lebih terbabit secara langsung dalam proses membuat keputusan dan pengurusan kelab, berbanding Penaung DiRaja yang lebih kepada memberikan bimbingan dan nasihat. 

Dalam kenyataan susulan itu JST turut memaklumkan satu berita baik akan diumumkan kepada semua penyokong JDT pada jam 10 pagi ini dalam laman rasmi Facebook berkenaan.

29 dibaca
Berita Harian X