Sabtu, 9 Januari 2016 | 10:46am

Trump serang Clinton, tayang video Monica Lewinsky


CALON presiden daripada parti Republican, Donald Trump. - Foto Reuters

WASHINGTON: Calon presiden daripada parti Republican, Donald Trump menayangkan montaj video Monica Lewinsky pada Khamis, dalam usahanya meningkatkan serangan peribadi terhadap pencabarnya dari Democrat, Hillary Clinton.

Klip berkenaan yang disiarkan dalam akaun Instagram Trump, menunjukkan turutan gambar, antaranya ialah bekas Presiden Bill Clinton berdiri di sebelah Lewinsky, pelatih Rumah Putih yang menjalin hubungan sulit dengan Clinton pada lewat tahun 1990-an.

Imej seterusnya menunjukkan tabloid New York memaparkan wajah Clinton dan tajuk 'Penipu, Penipu,' selepas bekas presiden itu mengaku menjalin hubungan terlarang.

Suara Hillary dimainkan ketika tayangan klip berkenaan, ketika bekas Wanita Pertama, senator dan bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu menegaskan: "Hak wanita adalah hak asasi manusia dan hak asasi manusia adalah hak wanita, selama-lamanya. Mari berjuang untuk peluang dan harga diri."

Video juga menunjukkan gambar Hillary berdiri di sebelah bekas anggota Kongres, Anthony Weiner, yang berundur daripada Dewan Perwakilan selepas didedahkan terbabit dalam skandal dan memaparkan beliau dengan pelawak Bill Cosby, yang terbabit dalam dakwaan menyerang beberapa wanita secara seksual. - Agensi

41 dibaca
Berita Harian X