Sabtu, 9 Januari 2016 | 7:55am

Kelab kerdil hampir aibkan Liverpool


PEMAIN Liverpool, Jerome Sinclair diasak pemain Exeter City, Jordan Tills dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di St James' Park, awal pagi tadi. - Foto Reuters

EXETER, UNITED KINGDOM: Liverpool terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk seri 2-2 dengan pasukan divisyen keempat, Exeter City dalam aksi pusingan ketiga Piala FA selepas kesilapan penjaga gol Adam Bogdan hampir menghadiahkan skuad kerdil itu kemenangan mengejut, awal pagi tadi.

Tom Nicholas membuka tirai jaringan untuk Exeter, yang memburu slot ke pusingan keempat buat pertama kali dalam tempoh 35 tahun, dan selepas jaringan penyamaan Liverpool oleh Jerome Sinclair, pelawat ketinggalan sekali lagi gara-gara kesilapan Bogdan apabila gagal menghalang sepakan sudut Lee Holmes yang terus menerjah ke dalam gawangnya.

Pemain Australia Brad Smith bagaimanapun menyekat hajat Exeter dan kedua-dua pasukan perlu mengharungi aksi ulangan di Liverpool.

"Ia jelas sekali kami perlu belajar untuk tidak mengulangi kesilapan ini di masa depan. Kami perlu lebih mantap," kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

"Permukaan padang sedikit merencatkan pasukan kami. Exeter juga bermain bagus. Mungkin mereka lebih mengetahui bahagian mana di padang ini untuk bermain bola sepak.

"Gol pertama memang kami tidak bernasib baik, ia adalah serangan pertama mereka. Saya tidak mahu mengulas mengenai gol kedua .

"Ia begitu sukar untuk kami. Dalam situasi satu lawan satu mereka lebih konsisten daripada kami."


PEMAIN Exeter City, Lee Holmes meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan ketika menentang Liverpool di St James' Park, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Exeter hanya memerlukan sembilan minit untuk berada di depan apabila hantaran Jamie Reid disambar Nicholas untuk meletakkan skuad tuan rumah di depan.

Bagaimanapun, The Reds hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan apabila penyerang berusia 19 tahun Sinclair tidak melakukan kesilapan pada jarak 10 meter untuk menyudahkan bola gerakan Christian Benteke.

Namun, pada masa kecederaan babak pertama, penyokong tuan rumah kembali ceria apabila penjaga gol Hungary, Bogdan hanya mampu melihat bola sepakan sudut Holmes menjangkaui atas kepalanya untuk menuju ke dalam gawang.

Ketinggalan menyaksikan Liverpool terus bergelut untuk mengatasi benteng pertahanan pasukan yang berada 73 anak tangga di bawah mereka sebelum Smith muncul penyelamat dengan jaringan penyamaan pada minit ke-73. - AFP

Berita Harian X