Jumaat, 8 Januari 2016 | 12:38pm

Satu lagi tahun rekod bagi Mercedes-Benz Malaysia

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia mencatat sejarah jualan terbaik sebanyak 10,845 unit kenderaan pada tahun lalu, meningkat 56 peratus berbanding 6,932 unit tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Claus Weidner, berkata tahun lalu menghasilkan banyak pencapaian untuk jenama Mercedes-Benz di Malaysia, kedua-duanya adalah produk dan barisan perkhidmatan pelanggan. "Sesetengah (pencapaian) ini merangkumi pelancaran koleksi Kereta Impian Mercedes-Benz dan pelancaran pusat pameran Hap Seng Star Kota Kinabalu, Sabah.

"Sebagai meraikan tahun ke-13 di Malaysia dan 130 tahun jenama ini sebagai pencipta automobil, kita menampilkan lebih banyak barisan model 'terbaik atau tiada apa-apa' yang dilengkapi dengan pengalaman pemilikan terbaik," katanya pada taklimat media mengenai prestasi 2015 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kenderaan Penumpang Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine. Sementara itu, Raine berkata, Mercedes-Benz Malaysia menjual pelbagai kenderaan penumpang daripada A-Class hingga jenama terkemuka, S-Class.

Katanya, kenderaan yang menerajui carta jualan adalah limosin pemasangan tempatan, C-Class, E-Class dan S-Class. "Model hibrid diesel pertama keluaran tempatan, menerajui jualan segmen kereta dengan 3,383 unit dijual, berbanding 2,212 unit pada 2014.

"C-Class mengikuti rapat dengan angka jualan positif sebanyak 2,697 unit, peningkatan 56 peratus berbanding 2014. "Mercedes-Benz S400L Hybrid mencatat jualan 1,909 unit pada 2015, meningkat 201 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya. Beliau berkata, sejumlah 7,989 unit limosin pemasangan tempatan dijual tahun lalu.

Berita Harian X