Jumaat, 8 Januari 2016 | 12:08am
SITI Nurhaliza anggun memperagakan busana Rizman Ruzaini. - Foto Adi Safri

Siti Nurhaliza mahu hamil lagi tahun ini


KUALA LUMPUR: Jendela 2016 yang baharu seminggu membuka tirainya menebarkan aura positif dalam diri penyanyi No 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Biarpun tahun lalu meninggalkan kenangan hiba dalam diri penyanyi bersuara buluh perindu ini apabila kandungannya gugur ketika berusia dua bulan, namun ia bukan alasan untuk dirinya meratap atas kehilangan itu.

Percaya setiap perkara berlaku adalah ketentuan Tuhan dan ada rahmat yang mengiringinya, Siti mengharapkan kehadiran tahun baharu membawa sinar dan rezeki yang melimpah ruah untuk dirinya dan keluarga tersayang.

Selain mahu kualiti kerjaya dan tanggungjawab sebagai hambaNya dipertingkatkan, wanita ini turut berharap akan dikurniakan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangganya bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, yang bakal mencecah usia sedekad Ogos depan.

"Jika ditanya apakah harapan Siti untuk tahun ini, pastinya fokus utama adalah untuk mendapatkan zuriat. Apa yang berlaku tahun lalu mengajar Siti untuk lebih berhati-hati. Siti anggap ia satu peringatan daripada Tuhan supaya lebih menjaga kesihatan diri.

"Ketika mula-mula Siti hamil, ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan waktu itu Siti sedang giat menjalani latihan untuk konsert. Takkanlah Siti hendak batalkan konsert berkenaan memandangkan persiapannya sudah banyak dibuat.

"Sebagai persediaan ke arah itu (mendapatkan anak), Siti kena banyak berehat dan maknanya tiada konsert besar untuk tahun 2016," ujar penyanyi berusia 36 tahun ini.

gn4id:11378227


Siti Nurhaliza berduet dengan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang pada Konsert Satu Suara Vol 2 di Istana Budaya. - Foto Nik Hariff Hassan

Peminat tak perlu risau

Apabila penyanyi yang mula dikenali menerusi lagi Jerat Percintaan ini menyatakan beliau tidak akan mengadakan sebarang konsert kerana mahu fokus untuk mendapatkan zuriat, maknanya Siti benar-benar serius dalam soal itu.

"Siti buat keputusan ini bukanlah maknanya Siti mahu memperlahankan kerjaya seni. Seperti yang ditegaskan tadi, Siti ingin menjaga kesihatan dan banyak berehat.

"Kalau hendak mengadakan konsert, ia memerlukan tenaga yang banyak kerana membabitkan latihan yang memakan masa berbulan-bulan.

"Bagaimanapun, jika sekadar persembahan makan malam atau acara berskala kecil, Siti tetap akan buat. Siti juga akan menghasilkan album baharu sebagai pengubat rindu. Jadi peminat Siti tak perlu risau," katanya sambil tertawa kecil.

Bakal menyambut ulang tahun yang ke-10 usia perkahwinannya pada Bulan Kemerdekaan, Siti Nurhaliza berkata, tiada hadiah yang paling manis selain impiannya untuk menimang cahaya mata sendiri menjadi kenyataan.

"Ogos depan, Siti dan suami akan meraikan sedekad usia perkahwinan kami. Ia satu tempoh yang cukup lama. Jika sebelum ini, Siti tidak terlalu memikirkan soal anak dan menyerahkan urusan itu kepada Tuhan, tetapi selepas insiden tahun lalu, keinginan untuk mendapatkan zuriat kembali meluap-luap.

"Selain menjaga kesihatan, Siti juga akan mendapatkan nasihat dan juga petua berguna daripada doktor supaya hasrat untuk kembali hamil dipermudahkan," cerita Siti.


PENYANYI, Datuk Siti Nurhaliza. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Siti Nurhaliza (kanan) bersama suami Datuk Seri Mohamad Khalid Jiwa.- Foto Asyraf Hamzah

Tak takut tua

Kehadiran Januari juga amat ditunggu-tunggu pemenang Anugerah Sri Perak, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ini kerana bulan pertama dalam kalendar Masihi ini adalah bulan kelahirannya. Tanggal 11 Januari yang jatuh pada hari Isnin ini, Siti Nurhaliza akan meraikan hari jadinya yang ke-37 tahun.

Tidak mahu terlalu memikirkan usianya yang semakin meningkat, ujar wanita popular yang turut bergelar usahawan ini, apa yang lebih penting dia mahu melalui hari-hari yang mendatang dengan penuh keindahan dan kebahagiaan.

"Apabila Siti berkata tidak mahu memikirkan soal usia yang meningkat, bukanlah bermakna Siti takut tua. Cuma, Siti tidak mahu bebankan minda.

"Bagi Siti, apa yang penting adalah untuk terus dikurniakan kesihatan yang baik buat Siti, mahu menjadi seorang insan yang lebih bertaqwa dan hidup bahagia bersama orang tersayang," pintanya penuh pengharapan.

Jika sebelum ini, Siti lazimnya meraikan ulang tahun hari lahirnya di Kuala Lumpur, tahun ini bagaimanapun akan menyaksikan dirinya menyambut detik itu di Jakarta, Indonesia.

Pemergiannya ke sana adalah untuk memenuhi undangan nyanyian sempena ulang tahun ke-21 stesen TV paling terkemuka negara berkenaan, Indosiar.

"Sebelum ini pun mereka sudah banyak kali mengajak Siti untuk menyanyi pada konsert ulang tahun mereka. Cuma tahun ini baru ada kesempatan untuk Siti memenuhi undangan berkenaan. Selepas berbincang dengan suami dan beliau memberikan persetujuan, baharulah Siti terima tawaran mereka.

"Ketika Siti mula-mula mengembangkan sayap ke negara itu, Indosiar ialah stesen televisyen pertama yang menampilkan Siti ke ruang udara mereka," kata penyanyi yang sudah pun memiliki kira-kira 250 anugerah ini.

Kata Siti, peluang itu juga akan digunakan olehnya untuk meraikan ulang tahun kelahirannya bersama-sama peminat di sana.

"Ada lebih kurang 100 peminat Siti yang aktif di Jakarta dan Siti akan menyambut hari lahir bersama-sama mereka," tutur Siti teruja.

Mengenai penghasilan album terbaharu, Siti yang juga pernah mengacarakan program televisyen berkata, buat waktu ini mereka masih mencari material yang sesuai.

"Siti pun belum duduk berbincang dengan pengurus Siti, Rozi, berkenaan hal itu.

"Bagaimanapun setakat ini ada beberapa komposer yang sudah menyerahkan lagu ciptaan mereka untuk Siti nyanyikan. Antaranya ialah Malique (Too Phat) dan Glenn Fredly," ujarnya yang pernah bekerjasama dengan kumpulan duo hip hop terbabit menerusi lagu Dua Dunia.

Berita Harian X