Khamis, 7 Januari 2016 | 11:23pm

Visa, Maybank perkenal kad pembayaran tanpa sentuh


VISA dan Maybank hari ini melancarkan Maybank Visa Payband, alat pembayaran tanpa sentuh yang boleh dipakai yang pertama di Malaysia. Maybank Visa Payband membolehkan pengguna untuk membuat pembayaran tanpa sentuh dalam masa beberapa saat saja, menggunakan teknologi tanpa sentuh Visa payWave di lebih dari 1,000 lokasi diseluruh negara. -

KUALA LUMPUR: Visa dan Maybank memperkenalkan kad pembayaran tanpa sentuh yang pertama di Malaysia dikenali sebagai Maybank Visa Payband.

Kad berkenaan membolehkan pengguna membuat pembayaran tanpa sentuh dalam masa beberapa saat, menggunakan teknologi tanpa sentuh Visa payWave di kira-kira 1,000 lokasi di seluruh negara.

Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon, berkata pihaknya percaya kad itu akan diterima baik rakyat Malaysia bagi menggantikan wang tunai, khususnya untuk pelbagai acara, konsert, dan taman tema.

Beliau berkata, kemudahan sedemikian akan menjadikan urus niaga lebih mudah dan menyenangkan untuk pengguna.

"Bagi membantu Malaysia menjadi masyarakat tanpa tunai, adalah penting bagi kami mengambil langkah untuk menggantikan wang tunai di tempat sedemikian yang sebelumnya selalu menggunakan wang tunai, terutama di acara dan taman tema yang mana bayaran masuk dan minuman adalah dalam jumlah kecil.

"Sejak kami memperkenalkan Visa payWave, pembayaran tanpa sentuh kian bertapak di Malaysia dan Visa berkerja keras dengan rakan niaga untuk mengembangkan penerimaan dan pengeluaran kad Visa payWave di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kong Boon berkata, setakat ini Visa mempunyai lebih 2.5 juta kad Visa payWave dalam edaran dan tahap penerimaan sedang meningkat.

"Kami turut menyaksikan pertumbuhan tahunan sebanyak 250 peratus bagi jumlah pembayaran untuk transaksi Visa payWave setakat November 2015," katanya.

Ketua Bahagian Kad dan Kekayaan Serantau Maybank, B Ravintharan, berkata program perintis untuk inovasi pembayaran itu akan membantu memacu bank itu ke barisan hadapan dalam pembayaran elektronik dan tanpa tunai.

Katanya, Maybank sentiasa berinovasi dalam penyelesaian bagi mempertingkatkan pengalaman pemegang kad.

"Perkongsian dengan Visa untuk merintis alat pembayaran tanpa sentuhan akan membolehkan kami meningkatkan nilai kepada pelanggan.

"Kami bercadang untuk memperkenalkan teknologi ini kepada pemegang kad pada tahun ini dan percaya kad pembayaran ini akan menjadi popular dalam kalangan pelanggan kerana mereka tidak lagi perlu membawa wang tunai untuk membuat pembayaran.

"Tambahan pula, peniaga atau penganjur acara juga dapat beroperasi dengan lebih cekap lagi kerana pembayaran tanpa sentuh akan mempercepatkan proses pembayaran dan mengurangkan barisan panjang," katanya.

27 dibaca
Berita Harian X