Khamis, 7 Januari 2016 | 7:44pm

Dua beradik terkunci dalam kereta


DUA orang kanak-kanak yang terperangkap di dalam sebuah kereta berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba dari BBP Sg Pinang di Jalan Iskandar Kampung Bukit Kapar. - Foto Ihsan Bomba

KAPAR: Seorang ibu berdepan detik cemas selepas dua anaknya terkunci di dalam kereta ketika beliau sedang membeli makanan, di Jalan Iskandar, Bukit Kapar, di sini, hari ini. 

Ibu berusia 34 tahun yang panik dengan keadaan itu cuba membuka kereta terbabit dengan bantuan orang ramai tetapi usaha mereka selama 35 minit itu tidak berjaya. 

Berikutan kegagalan itu, mereka menghubungi pihak bomba dan penyelamat.   

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Zaidi Ahtan, berkata selepas mendapat panggilan kira-kira jam 3 petang, tujuh anggotanya bergegas ke tempat kejadian. 

Katanya, setibanya di lokasi, anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi membuka kereta itu. 

"Anggota kami menggunakan satu peralatan khas bagi membuka kereta yang terkunci. Alatan ini tidak akan memecahkan cermin atau merosakkan mana-mana bahagian kereta. 

"Ketika sampai, kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan adik perempuannya, 10 bulan, sedang tidur selepas keletihan menangis ketika ibu dan orang awam cuba membuka kereta itu," katanya kepada BH, di sini,

Difahamkan, kereta wanita itu terkunci daripada dalam ketika beliau keluar membeli makanan.

43 dibaca
Berita Harian X