Rabu, 6 Januari 2016 | 6:43pm

Indeks jenayah Terengganu turun 17 peratus


KETUA Polis Negeri, Datuk Rosli Ab Rahman (tiga dari kiri) bersama Pengetua SMKA Dato' Haji Abbas,Tok Jiring, Awi Salleh (dua dari kanan) dan pegawai yang lain ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Pelajar di Dewan SMKA Dato' Haji Abbas, Kuala Nerus. - Foto Syahirah Abdullah

KUALA NERUS: Indeks Jenayah membabitkan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda polis kontinjen negeri Terengganu menunjukkan penurunan sebanyak 17 peratus bagi tahun 2015 berbanding 11 peratus pada tahun 2014.

Ketua Polis Negeri, Datuk Rosli Ab Rahman, berkata penurunan berkenaan meletakkan Terengganu sebagai negeri kedua kurang kes jenayah selepas Melaka.

Katanya, kes kecurian motosikal adalah penyumbang tertinggi kepada indeks jenayah di negeri ini.

"Sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah membabitkan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda di negeri ini adalah berpunca daripada kes kecurian motosikal.

"Melalui rondaan dan pemantauan yang dijalankan, masalah ini berpunca daripada kecuaian pemilik yang tidak mengunci motosikal mereka terutama apabila berada di rumah, termasuklah di masjid dan surau.

"Ini memudahkan pencuri motosikal menjalankan kegiatan berkenaan selain mereka juga mempunyai kemahiran yang tinggi terhadap teknik mencuri motosikal," katanya selepas merasmikan majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abbas, di sini, hari ini.

11 dibaca
Berita Harian X