Rabu, 6 Januari 2016 | 4:38pm

Krisis kecederaan landa Liverpool


DEJAN Lovren mengalami kecederaan hamstring ketika perlawanan menentang Stoke City, awal pagi tadi. - Foto AFP

STOKE-ON-TRENT (United Kingdom): Krisis kecederaan dialami Liverpool mungkin memaksa Jurgen Klopp menyertai jendela perpindahan pemain dengan posisi pertahanan menjadi keutamaan.

Pengendali itu kini berdepan masalah kemungkinan tiada pemain di posisi itu yang berada dalam keadaan cergas pada aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Exeter, awal pagi Sabtu ini.

Dejan Lovren mengalami kecederaan hamstring ketika menang 1-0 ke atas Stoke City dalam saingan Piala Liga, awal pagi tadi, sekali gus menambah derita skuad The Reds selepas Martin Skrtel terpaksa diketepikan sehingga bulan depan susulan masalah sama manakala Mamadou Sakho pula cedera lutut.

Selain itu, Kolo Toure yang menggantikan Sakho pada aksi dengan Stoke juga mengalami kekejangan pada penghujung permainan.

Klopp tidak pasti sama ada Toure mampu kembali cergas atau tidak.

"Setakat ini tidak ada pertahanan tengah yang cergas dan boleh dikatakan kami perlu fikir tentang perkara ini pada sesi perpindahan kali ini.

"Ia sesuatu yang bagus apabila dua minggu lalu kami ada tiga pertahanan tengah. Sekarang seorang pun tidak ada.

"Ini bukan perkara yang kelakar. Saya tidak tahu sekiranya pertahanan kami ada peluang untuk kembali cergas namun saya tidak fikir seperti itu." - AGENSI

Berita Harian X