Rabu, 6 Januari 2016 | 1:35pm

Tiada kes tembak menembak di Jeram Manir - Polis


ROSLI Ab Rahman (dua dari kiri) diiringi Pengetua SMK Dato' Haji Abbas, Awi Salleh (kiri) menyampaikan sijil pelantikan pengawas pada Majlis Watikah Pemimpin Pelajar di sekolah itu hari ini. - Foto Syahirah Abdullah

KUALA NERUS: Polis Terengganu menafikan kononnya berlaku tembak menembak di Jeram Manir, Kuala Terengganu seperti yang disebarkan di media sosial, lewat petang semalam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, viral berkenaan tidak benar sama sekali dan menjadi salah satu penyalahgunaan media sosial masa kini.

"Kebanyakan masyarakat masa kini gemar mengada-adakan berita yang tidak sahih dan menyebarkan di laman sosial sebelum mendapat kepastian terlebih dahulu.

"Semalam, pihak polis hanya menerima laporan empat kes jenayah indeks dan tidak ada laporan pun yang menyatakan berlaku kejadian tembak menembak seperti yang disebarkan di aplikasi Whatsapp dan Facebook," katanya selepas merasmikan Watikah Pemimpin Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Abbas, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rosli menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan tidak cepat percaya dengan berita yang disebarkan di laman sosial sebelum mendapat kepastian pihak berkuasa.

Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya berhenti menyebarkan berita tidak sahih kerana ia boleh mengundang kekeliruan dan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini, berita mengenai dua kumpulan lelaki berketurunan Cina dipercayai pengedar rokok seludup, bergaduh sesama sendiri dan berlaku kejadian tembak menembak di lokasi mereka berjumpa.

Viral itu mula tersebar petang semalam dan mendapat reaksi meluas daripada orang ramai.

Berita Harian X