Ahad, 12 Oktober 2014 | 3:12pm
ANTARA peserta yang hadir menyertai Larian KL Marathon Standard Chartered 2014 di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Ghazali Kori

Atlet Kenya kuasai Maraton KL Standard Chartered


PEMENANG bagi kategori "Full Marathon International" Lelaki dan Perempuan, Kennedy Kiproo Lilan (kiri) dan Mugo Hellen Wanjiku Kebya bergambar bersama medal selepas Majlis Penyampaian Hadiah KL Maraton Standard Chartered 2014 di Dataran Merdeka di sini hari ini. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Pelari dari Kenya menguasai Maraton KL-Standard Chartered 2014 apabila mereka memenangi tiga tempat teratas masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita, di sini, hari ini.

Juara bertahan, Kennedy Kiproo Lilan merangkul kejuaraan itu buat kali keempat dalam Maraton Penuh 42 kilometer lelaki terbuka.

Lilan mencatat dua jam 17 minit 47 saat, mendahului rakan senegara Geoffrey Birgen dan Chelimo Luka Kipkemoi, masing-masing menamatkan larian dengan 2'17:48s dan 2'18:45s di Dataran Merdeka.

"Perlumbaan tahun ini agak mencabar bagi saya. Memenangi Maraton KL bagi kali keempat adalah pencapaian yang sangat besar buat saya. Cuaca juga baik berbanding tahun lepas. Saya membuat persediaan selama tiga bulan untuk ke sini.


PEMENANG bagi kategori "Full Marathon Malaysia" Lelaki dan Perempuan, Loh Choon Fern (kiri) dan Muhaizar Mohamad (kanan) bergambar bersama medal selepas Majlis Penyampaian Hadiah KL Maraton Standard Chartered 2014 di Dataran Merdeka di sini hari ini. - Foto Ghazali Kori

"Keseluruhannya saya berpuas hati dengan catatan masa. Lepas ini saya akan sertai Maraton Jakarta, bulan depan," kata Lilan kepada pemberita selepas acara itu.

Sementara itu, rakan senegara, Mugo Hellen Wanjiku cemerlang dalam Maraton Penuh 42 km Terbuka Wanita, mengetepikan Demes Alemtsehay Mefsin dan Ruth Chemisto Matebo, kedua-duanya juga dari Kenya.

Wanjiku menamatkan maraton dengan catatan 2'43:22s manakala Mefsin 2'43:59s dan Matebo 2'44:32s.

Sejumlah 35,200 pelari mengambil bahagian dalam acara itu yang menawarkan hadiah wang tunai AS$116,740 (RM376,534).

Hadiah disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Bagi kategori Maraton Penuh Malaysia Lelaki dan Maraton Penuh Malaysia Wanita, pemenangnya ialah Muhaizar Mohamad dan Loh Choon Fern. - BERNAMA


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (dua dari kanan) ketika menamatkan larian bagi acara MSIG 10km sempena KL Maraton Standard Chartered 2014 di Dataran Merdeka di sini hari ini. - Foto BERNAMA

Berikut senarai pemenang Maraton KL Standard Chartered 2014:

Maraton Penuh Terbuka Lelaki

1 Kennedy Kiproo Lilan (Kenya) 2 jam 17 minit 47 saat

2 Geoffrey Birgen (Kenya) 2'17:48s

3 Chelimo Luka Kipkemoi (Kenya) 2'18:45s

Maraton Penuh Terbuka Wanita

1 Mugo Hellen Wanjiku (Kenya) 2'43:22s

2 Demes Alemtsehay Mefsin (Kenya) 2'43:59s

3 Ruth Chemisto Matebo (Kenya) 2'44:32s

Maraton Penuh Malaysia Lelaki

1 Muhaizar Mohamad 2'41.11s

2 Shaharudin Hashim 2'46.24s

3 Tan Huong Leong 2'47.23s

Maraton Penuh Malaysia Wanita

1 Loh Choon Fern 3'25:52s

2 Yuan Yu Fang 3'34.27s

3 Adele Wong Li-Peng 3:35.05s

Berita Harian X