Selasa, 5 Januari 2016 | 5:56pm

Polis tahan 3 penagih dadah

LANGKAWI: Tiga lelaki berusia antara 25 dan 31 tahun yang sedang leka menghisap dadah di beranda sebuah rumah di Kampung Baru, Mukim Ulu Melaka di sini, ditahan awal pagi hari ini.

Serbuan pada jam 1 pagi itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi diketuai Inspektor Inspektor Shaharudin Shah. 

Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek terbabit yang panik selepas menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan. 

Semua suspek termasuk seorang yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah kemudiannya dibawa ke IPD Langkawi untuk siasatan lanjut. 

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, berkata polis turut merampas 17 paket lut sinar dan satu straw mengandungi dadah heroin seberat 132.5 gram (gm), 0.4gm (ganja) dan 0.1gm (syabu) serta wang tunai berjumlah RM13,362.

"Semua dadah itu ditemui di atas lantai rumah tempat ketiga-tiga suspek duduk untuk menghisap dadah. 

"Ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki terbabit yang juga penganggur positif dadah jenis heroin," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan reman seminggu dan disiasat mengikut seksyen 39A(1) Akta Dadah Merbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan. 

"Manakala wang tunai yang dirampas itu disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

"Menerusi maklumat awal kita dapati dadah yang dirampas itu dipercayai untuk dijual di pasaran gelap di sekitar Mukim Ulu Melaka di sini," katanya.

Berita Harian X