Selasa, 5 Januari 2016 | 3:41pm

Wanita maut motosikal langgar babi hutan

PENDANG: Seorang wanita maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas selepas terlanggar seekor babi hutan yang melintas jalan di Jalan Jenun menghala ke Pokok Tai dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Aishah Mat, 47, yang bekerja sebagai tukang cuci di Kolej Matrikulasi Pendang, dikatakan sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim, berkata pihaknya mendapat laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.50 pagi dan seorang pegawai penyiasat bersama anggotanya bergegas ke tempat kejadian kejadian.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat mengalami cedera parah di kepala dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis turut menemui bangkai babi hutan yang dikatakan dilanggar oleh mangsa dalam kejadian itu.

Berita Harian X