Selasa, 5 Januari 2016 | 11:03am

Pembekal kit tak puas hati aksi United

PENGENDALI Manchester United, Louis Van Gaal. - Foto AFP

MANCHESTER: Pengurusan Louis Van Gaal di Manchester United sekali lagi berdepan masalah selepas corak permainan di bawah kendaliannya dikritik pembekal kit pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Pegawai Eksekutif Adidas yang menandatangani rekod dunia dengan nilai tajaan STG750 juta pound (RM4.8 billion) musim lalu, Herbert Hainer, mengakui corak permainan yang diterapkan pengurus kelahiran Belanda itu disifatkan sebagai 'bukan permainan yang mahu kami lihat'.

Walaupun tekanan ke atas Van Gaal dilihat sedikit surut selepas kemenangan menentang Swansea hujung minggu lalu, penyokong masih lagi kecewa selepas mereka tidak lagi dapat menikmati bola sepak menyerang yang menghiburkan seperti pada era Sir Alex Ferguson.

Hanya 16 gol dijaringkan United dan pasukan lawan di Old Trafford pada musim ini, selain anak buah Van Gaal itu turut mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam enam perlawanan di laman keramat mereka itu.

Legenda United, Paul Scholes dan Rio Ferdinand turut menyokong pendapat penyokong dengan mengatakan falsafah bola sepak yang cuba diterapkan Van Gaal, membosankan.

"Urusniaga membabitkan Adidas dan United berjalan dengan baik dan kami menjual lebih banyak jersi daripada yang disasarkan.

"Kami berpuas hati dengan apa yang kami raih, namun kami tidak begitu menikmati corak permainan yang ditonjolkan United buat masa ini," kata Hainer. - Agensi

Berita Harian X