Selasa, 5 Januari 2016 | 6:37am

Perlombongan bauksit usah jejas alam sekitar

Pencemaran air dan udara akibat perlombongan bauksit di Kuantan sudah tidak terkawal. Sungai dan air laut bertukar warna akibat perlodakan dan debu merah memenuhi ruang udara di kawasan perlombongan, sepanjang jalan lori pengangkut bijih dan di kawasan pelabuhan.

Lebih mendesak, komuniti setempat menjadi mangsa utama pencemaran alam sekitar. Pastinya, proses perlombongan bauksit ini melampaui kelestarian alam.

Perlombongan adalah aktiviti ekonomi utama pembangunan negara sejak ratusan tahun lamanya. Kuala Lumpur dan Ipoh umpamanya, terbangun menjadi bandar raya utama disebabkan perlombongan bijih timah. Sehingga hari ini, impak perlombongan boleh dirasai. Sebahagian tanah terbiar dengan ratusan kolam dan tasik adalah bekas kawasan lombong. Mujur kemajuan teknologi dan permintaan pembangunan pesat berupaya membaikpulih bekas lombong menjadi kawasan perumahan dan pusat bandar baharu.

Sejak 1980-an, kesedaran global pentingnya memulihara alam sekitar beri tekanan kepada aktiviti perlombongan dan pengkuarian, diikuti kejatuhan harga bijih menyebabkan aktiviti perlombongan jadi kurang berekonomi. Alam sekitar mulai bernafas, aktiviti perlombongan semakin menguncup dan usaha memulihara alam sekitar berkembang segar. Tekanan alam sekitar pasca-1980 hanya berkaitan pembukaan tanah untuk perladangan.

Kesan perlombongan bauksit

Proses perlombongan ada dua jenis - lombong bawah tanah dan permukaan. Di Malaysia, lombong permukaan terbahagi kepada dua, iaitu lombong endapan aluvium (bijih angkutan sungai) dan tanah baki (luluhawa batuan). Kebanyakan perlombongan bijih timah di negara satu ketika dulu dilakukan pada dataran aluvium di kawasan pamah dan sepanjang lembah sungai.

Kita ada pengalaman melombong bauksit di Teluk Ramunia, Pengerang, Johor yang diberhentikan sekitar 1970-an dan kesannya dilihat hingga sekarang. Perlombongan bauksit dilakukan dengan menarah tanah baki hasil luluhawa batuan mengandungi aluminium tinggi. Tebal lapisan yang dilombong boleh capai 10m atau hingga mencapai batuan dasar. Akibatnya, lapisan tanah di kawasan meluas akan gersang dan tidak sesuai lagi untuk pertanian.

Pada era masyarakat prihatin alam sekitar, projek perlombongan dilihat sebagai aktiviti tidak lestari. Banyak kekangan dikenakan sehingga pelbagai inovasi diperkenalkan pada peringkat global bagi memastikan ia masih relevan dan mengamalkan wawasan pembangunan lestari. Di Malaysia, aktiviti muncul semula ini nampaknya masih amal set minda perlombongan 1970-an.

Banyak penambahbaikan teknologi perlombongan diperkenalkan. Antara perkara yang diberi perhatian serius dalam era perlombongan moden ialah:

Perlombongan lazimnya projek 20 hingga 50 tahun. Setiap projek perlu dirancang berasaskan perancangan pembangunan lestari wilayah, dimajukan syarikat besar berkeupayaan tinggi dan beri perhatian besar kepada impak pencemaran alam sekitar. Perkongsian keuntungan boleh berasas kepada konsep pelaburan bersama, bukan dengan memberikan kepada banyak syarikat kecil mengendalikannya;

Kawasan perbandaran tidak sesuai

Pembangunan pembandaran tidak boleh seiring dengan pembangunan perlombongan. Aktiviti perlombongan perlu didahulukan di kawasan terpencil. Apabila selesai barulah proses perbandaran dipertimbangkan di kawasan sama. Kawasan dibangunkan untuk pembandaran tidak sesuai lagi dijalankan perlombongan. Jika sumber bijih di sekitar kawasan pembandaran tidak dikenalpasti awal dan diterokai, ia akan terperangkap dan tidak boleh dilombong lagi demi kesejahteraan masyarakat;

Perancangan perlombongan perlu teliti komponen berikut: kawasan perlombongan dan pembuangan sisa lombong; sistem pengangkutan bijih dan pelabuhan; dan sistem pemprosesan bijih kepada produk boleh pasar. Setiap komponen ini berupaya mencemar dan memudaratkan ekosistem. Akhirnya komuniti dan aktiviti lain terjejas. Kawalan meminimumkan impak boleh dilakukan dengan menggunakan teknologi canggih atau sistem tabii;

Setiap jenis bijih mempunyai ciri tersendiri yang perlu diberi perhatian. Bagi perlombongan bauksit umpamanya, bijih berbentuk tanah baki batuan terluluhawa membentuk permukaan bumi meluas. Proses pembentukan tanah baki berbijih dan lapisan tanah ambil masa jutaan tahun. Aspek kemusnahan lapisan tanah subur, pencemaran air dan udara, dan degradasi landskap adalah perkara perlu ditangani dengan bijaksana dan lestari.

Perlombongan bauksit di Kuantan mungkin tidak dalam perancangan jangka panjang proses pembangunan negara. Ia mungkin dibangunkan secara tergesa-gesa selepas melihat peluang keemasan. Akibatnya, ia menimbulkan krisis antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Kerajaan negeri perlu ambil tindakan segera sebelum nasi menjadi bubur.

Berita Harian X