Selasa, 5 Januari 2016 | 12:04am
PEMILIK Atelia Amani, Mohamad Farid Omardin dan isterinya, Zaileen Yusnita Abd Jalil. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Imej wanita timur dalam koleksi pengantin "Demure"


KOMBINASI rekaan moden dengan material songket menonjolkan gaya eksklusif dan anggun. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

PERSAINGAN rekaan pakaian pengantin begitu dirasai tatkala ramai yang beralih memilih busana moden mengikut kesesuaian peredaran fesyen terkini.

Hanya sesekali busana tradisional mendapat permintaan mempelai yang inginkan gaya klasik dalam majlis perkahwinan.

Walaupun rekaan moden kini mendapat tempat di hati ramai pasangan muda-mudi, elemen tradisional, masih mencuri tumpuan kerana ia melambangkan keunikan busana berkenaan sekali gus mengekalkan imej wanita timur.

Itulah yang cuba ditampilkan pemilik jenama pakaian pengantin, Atelia Amani, Mohamad Farid Omardin dan isterinya, Zaileen Yusnita Abd Jalil.

Justeru pasangan ini menghasilkan beberapa rekaan baju pengantin bertemakan 'Demure'.

Koleksi 'Demure' diinpirasikan daripada selebriti Ziana Zain berdasarkan hubungan baik mereka dan karakter berkarisma yang ditonjolkan oleh penyanyi berkenaan.


KOLEKSI 'Demure' yang diinpirasikan daripada selebriti Ziana Zain. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Hiasan minimum

Mohamad Farid berkata, keselesaan, cita rasa dan kemampuan pelanggan diambil kira. Oleh itu, kebanyakan material digunakan ialah 'french lace' kerana ia menonjolkan gaya eksklusif dan anggun, manakala penggunaan songket yang terkenal dengan kehalusan seni reka serta berkualiti tinggi memperlihatkan gaya klasik.

Katanya, walaupun rekaan moden, diselitkan material songket kerana ia nampak lebih eksklusif. Suatu ketika dulu, permintaan baju pengantin ialah yang bergemerlapan dengan hiasan manik menjadi pilihan, tetapi kini semuanya inginkan hiasan minimum.

"Justeru, bagi memenuhi permintaan pelanggan, kami hasilkan baju dengan hiasan minimal iaitu manik besar kerana ia nampak lebih anggun. Kami tidak menggunakan banyak manik," katanya ketika ditemui selepas pertunjukan busana pengantinnya, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai warna pula, beliau memilih menggunakan rona pastel kerana ramai pelanggannya inginkan warna berkenaan.


GABUNGAN fabrik, manik dan pilihan warna bersesuaian menjadi pelengkap kepada busana pengantin yang hebat. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

Justeru, gabungan fabrik, manik dan sebagainya menjadi pelengkap kepada busana pengantin yang hebat.

"Kami sangat optimis untuk hasilkan rekaan terbaharu di pasaran. Kepuasan, kualiti dan rekaan menjadi keutamaan supaya jenama ini menjadi fesyen ikutan," katanya.

 

Gaya sedondon

 

Bukan sekadar busana pengantin, pasangan ini juga menyediakan baju pengapit supaya mereka juga tampil antik dan menawan.

"Tidak manis jika pasangan mempelai memperagakan baju seindah puteri dan putera raja, tetapi pengapit hanya 'biasa-biasa' saja.

"Kebanyakan orang hanya menggunakan baju kurung dan moden saja untuk pengapit, tetapi saya mahu mereka gaun penampilan mereka juga secantik mempelai.

"Motif digunakan juga berbeza supaya nampak kelainan. Sekurang-kurangnya rekaan ini boleh memberi inspirasi kepada pasangan pengantin untuk menghargai pengapit mereka," katanya.

Baju pengapit dijual bermula pada harga RM500 hingga RM800 mengikut material.

 

35 dibaca
Berita Harian X