Isnin, 4 Januari 2016 | 8:04pm

ANGKASA sasar 20 koperasi sekolah capai perolehan RM1j


NAIB Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Kamarudin Ismail (kiri) bersama dengan Pengerusi ANGKASA Kelantan Datuk Che Mohd Shukree Che Isa (tengah) dan Pengetua SMK Kubang Bemban, Ab Khabir Ab Ghani melihat baju sekolah ketika membuat lawatan di koperasi SMK Kubang Bemban, Pasir Mas. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

PASIR MAS: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) menyasarkan 20 koperasi sekolah mencapai perolehan RM1 juta setahun menjelang 2017.

Naib Pengerusinya, Datuk Kamarudin Ismail, berkata setakat ini hanya tiga sekolah sudah mencapai RM1 juta perolehan hasil jualan peralatan dan kelengkapan sekolah, termasuk perkhidmatan yang ditawarkan sejak tahun lalu.

Beliau berkata, antara koperasi sekolah yang mencapai kejayaan itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, Kota Bharu; Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang; dan MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka.

"Sebanyak 100 daripada 2,300 koperasi sekolah sudah mencapai gred A selepas memperoleh hasil jualan lebih RM300,000 setahun, termasuk 10 koperasi memperoleh RM500,000.

"Kami optimis dengan hasil kejayaan diperoleh koperasi sekolah di seluruh negara, ANGKASA dapat capai sasaran yang ditetapkan. Pada masa sama, bagi koperasi sekolah yang berjaya mendapat perolehan RM1 juta akan mendapat pengiktirafan bermula tahun ini," katanya dalam sidang media selepas melawat Koperasi SMK Kubang Kerian, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi ANGKASA Kelantan, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa dan Pengetua SMK Kubang Bembang, Ab Khabir Ab Ghani.

Kamarudin berkata, ANGKASA juga memberi galakan kepada koperasi sekolah mencapai sasaran nanti sama ada dalam bentuk bantuan kewangan atau kursus dan seminar secara percuma.

Ditanya mengenai dakwaan orang ramai yang mengatakan koperasi sekolah menjual barangan jauh lebih mahal daripada kedai luar sekolah, Kamarudin menafikan perkara itu.

"Saya lihat koperasi sekolah menjual harga lebih murah berbanding kedai, sebagai contoh fail plastik dijual dengan harga 80 sen berbanding di luar RM1.20 sen manakala penutup plastik pula berharga 30 sen berbanding 50 sen di kedai," katanya.

Berita Harian X