Isnin, 4 Januari 2016 | 12:41pm

Pemegang saham IOI Properties lulus cadangan beli syarikat hartanah

PUTRAJAYA: Pemegang saham monoriti IOI Properties Group Bhd hari ini meluluskan cadangan pengerusi syarikat itu, Tan Sri Lee Shin Cheng untuk menyuntik simpanan tanah peribadinya ke dalam IOI Properties.

IOI Properties pada Oktober 2015 mengumumkan cadangan pembelian dua syarikat hartanah dengan tanah seluas 160 hektar daripada Shin Cheng, isteri dan anak sulungnya membabitkan pertimbangan tunai dan saham baharu bernilai RM1.583 bilion.

Simpanan tanah kedua-dua syarikat itu, Mayang Development Sdn Bhd (MDSB) dan Nusa Properties Sdn Bhd (Nusa), dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM20 bilion.

Cadangan itu memerlukan kelulusan pemegang saham minoriti syarikat berikutan ia adalah transaksi membabitkan pihak yang berkaitan. 

Janji niaga dibiayai 74 peratus oleh penerbitan saham baharu pada harga RM2.21 seunit, manakala RM158 juta dalam bentuk tunai.

Janji niaga itu menyaksikan penguasaan tidak langsung Shin Cheng dalam syarikat itu meningkat kepada 58.56 peratus daripada 51.47 peratus.

22 dibaca
Berita Harian X