Isnin, 4 Januari 2016 | 11:09am

Warga emas maut terjatuh tingkat 10

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas maut selepas dikatakan terjatuh dari tingkat 10 kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, di sini, pagi tadi.

Mayat mangsa berusia 72 tahun itu ditemui penduduk selepas melihat seorang wanita terbaring berlumuran darah dengan kepalanya pecah di tingkat bawah blok empat sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan siasatan awal tidak menemui sebarang kesan jenayah.

"Cucu mangsa berusia 21 tahun yang bangun pada jam 7.10 pagi mendapati neneknya tiada. Pemeriksaan mendapati pintu utama tertutup, namun pintu jeriji hadapan terbuka.

"Dia kemudian terlihat sebuah kerusi diletakkan di kaki lima berhampiran koridor rumah dan menjenguk ke bawah sebelum terkejut mendapati neneknya sudah terbaring di atas jalan," katanya dalam kenyataan di sini.

Difahamkan, mangsa menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) untuk bedah siasat dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Berita Harian X