Isnin, 4 Januari 2016 | 12:31am

3 pendaki sesat di Bukit Mor ditemui selamat

PASUKAN Bomba Muar berjaya menemui tiga remaja yang dilaporkan hilang ketika mendaki kawasan Bukit Mor, petang tadi. - Foto ihsan bomba

MUAR: Pasukan mencari dan menyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Muar menemui tiga remaja yang dilaporkan hilang ketika mendaki kawasan Bukit Mor, Parit Jawa di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Muar, Marzuki Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berkaitan kejadian pada jam 7.48 malam tadi.

"Seramai 12 anggota bersama satu jentera dikejarkan lokasi terbabit bagi melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa. Turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat ialah lima anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lima anggota polis selain turut dibantu penduduk kampung.

"Ketiga-tiga mangsa dikenal pasti sebagai Tan Sze Yen, 26; adiknya, Tan Sze Kie, 23, dan Wong Ken Li (belum dipastikan usianya) ditemui pada jam 9.02 malam tadi," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Marzuki berkata, difahamkan Sze Yen dan Sze Kie mendaki bukit terbabit kira-kira jam 5 petang tadi sebelum tersesat, selain bertemu dengan seorang lagi lelaki iaitu Ken Li di atas puncak bukit sama yang turut tersesat.

Katanya, semua mangsa dalam keadaan baik namun keletihan selepas tersesat kira-kira lima jam di bukit terbabit dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 10.16 malam tadi.

Berita Harian X