Isnin, 4 Januari 2016 | 12:04am

Suntikan kontemporari rancakkan gamelan


BUAL Bicara Tokoh Perkembangan Gamelan Melayu di Blackbox ASWARA. - Foto Salhani Ibrahim

HAMPIR lima dekad yang lalu, alunan bunyi gamelan yang berasal dari Istana Kerajaan Riau-Lingga sejak kurun ke-17, tidaklah 'sebebas' persembahannya pada masa kini.

Mula dipersembahkan di Tanah Melayu pada tahun 1811, alunan gamelan sebelum ini hanya berkumandang di istana sehinggalah usaha membawanya keluar dilakukan bagi membolehkannya ia dinikmati semua lapisan masyarakat.

Penyebaran seni gamelan ke Tanah Melayu awalnya berlaku di Pekan, Pahang, bersempena perkahwinan Diraja antara kerajaan Riau-Lingga dengan Pahang.

Ia kemudiannya berkembang ke Terengganu melalui perkahwinan Puteri Pahang, Tengku Ampuan Mariam dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah sehingga seni muzik itu melalui kemuncaknya pada zaman itu, sekali gus pemuzik gamelan ditauliahkan sebagai Orkes Gamelan Terengganu.


PENGGIAT muzik gamelan, Abdul Khalil Hassan di Bual Bicara Tokoh Perkembangan Gamelan Melayu di Blackbox ASWARA. - Foto Salhani Ibrahim

Sesuaikan dengan peredaran zaman

Penggiat gamelan, Abdul Khalil Hassan, antara pemuzik yang meneruskan kelangsungan seni gamelan sebaik saja usaha membawa keluar muzik itu dari istana dimulakan Tan Sri Mubin Sheppard pada tahun 1966 selepas melalui zaman suram terutamanya sepanjang Perang Dunia Kedua.

Abdul Khalil yang menyertai Kumpulan Budaya Negara (KBN) pada awal 1970-an, bukan setakat mengembangkan seni gamelan, malah menyuntik elemen kontemporari untuk menyesuaikannya dengan peredaran zaman yang pertama kali dipersembahkan ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan SEA pada tahun 1976.

"Saya kaji skrip yang diberi dan melaluinya memberi suntikan kontemporari melalui lagu yang digunakan termasuk Timang Burung dan Pelayaran.

"Usaha menyuntik elemen kontemporari itu membawa cabarannya yang tersendiri, apatah lagi gamelan sendiri terhad pada lima not saja," katanya dalam Gema Seni Tradisional: Alun Perunggu, Bual Bicara Tokoh-Perkembangan Gamelan Melayu di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut diadakan di sebelah malamnya ialah persembahan Alun Perunggu yang mengungkap keindahan dan keistimewaan seni gamelan yang terhasil kesan penghijrahan antara Nusantara.

Abdul Khalil yang pertama kali melihat alat muzik itu pada tahun 1974 selepas ia dibawa masuk ke tanah air dari Solo, Indonesia, memulakan usaha pemindahan not gamelan yang memberi banyak manfaat kepada pembelajarannya sehingga ke hari ini.


PENGGIAT muzik gamelan, Othman Abdullah di Bual Bicara Tokoh Perkembangan Gamelan Melayu di Blackbox ASWARA. - Foto Salhani Ibrahim

Kenal pasti not

"Usaha itu dilakukan dengan bantuan pengajar tari gamelan dari Terengganu yang boleh bermain alat muzik berkenaan tetapi tidak mempunyai not muzik.

"Saya terpaksa mendengar lagu dimainkannya dan mengenal pasti notnya satu persatu. Hanya selepas itu, pemuzik dapat mengiringi tari gamelan dalam setiap persembahan," katanya pada acara yang turut dihadiri tokoh dan penggiat gamelan, Othman Abdullah serta Hamzah Abdul Hamid.

Sementara itu, Othman berkongsi pengalamannya menjadi antara tokoh gamelan yang bertuah apabila berpeluang menyaksikan kegemilangan seni gamelan ketika ia masih dipersembahkan di Istana Kolam, Terengganu.

Dibesarkan dalam lingkungan istana, anak kepada penggiat gamelan, Adnan Abdullah atau Mak Nang itu berpeluang mengutip pengalaman daripada barisan pemain gamelan istana pada zaman berkenaan.

Meskipun gembira melihat perkembangan seni gamelan kini, Othman berhasrat melihat tenaga pengajar gamelan menambah lebih banyak ilmu mengenai alat muzik itu bagi mengelak penyampaian yang salah.

Salah guru ajar berbeza

Dalam beberapa pertandingan diadili, Othman menyaksikan sendiri bagaimana kenong, iaitu antara alat muzik utama gamelan selain keromong, gambang, saron demung, saron baron, saron pekin, gong dan gendang, dimainkan sehingga tamat lagu.

"Sebenarnya dalam dua bar lagu terdapat satu kenong saja tetapi kesalahan ini berlaku kerana ajaran berbeza diberi oleh guru gamelan berbeza sehingga ia perlu diperbetulkan kerana sering dilakukan dalam persembahan gamelan yang akan merosakkannya secara diam-diam," katanya pada acara anjuran Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA).

Menurut Othman, bagi mengelakkannya daripada terus berlaku, pemuzik gamelan akan diberikan gred antara satu hingga lapan berdasarkan kemahiran mereka menguasai lagu tertentu seperti yang dilaksanakan dalam gred muzik di luar negara.

"Justeru, tenaga pendidik terlebih dulu akan dilatih bagi memastikan mereka mengikuti hanya satu standard pengajaran yang sama dan seterusnya melatih pelajar dengan cara yang serupa," katanya.

69 dibaca
Berita Harian X