Ahad, 3 Januari 2016 | 6:32pm

Banjir Johor: 36 masih di tiga pusat pemindahan

KEDIAMAN penduduk di Kampung Seberang Batu Badak di Jalan Segamat ke Muar di Segamat yang di naiki air. - Foto Ahmad Ismail

JOHOR BAHRU: Seramai 36 penduduk dari tiga daerah di negeri ini masih ditempatkan di pusat pemindahan walaupun keadaan banjir dilaporkan semakin surut berikutan keadaan cuaca baik, hari ini. 

Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin, berkata seramai lima mangsa dari sebuah keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sialang, Tangkak, berikutan keadaan rumah mereka masih digenangi air. 

Beliau berkata, walaupun keadaan cuaca bertambah baik sejak kelmarin, namun keadaan kediaman mangsa yang masih belum surut sepenuhnya menyebabkan mereka terpaksa berlindung di pusat pemindahan banjir.   

"Sebelum ini, terdapat 20 mangsa banjir membabitkan lima keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan rumah mereka dinaiki air sejak Jumaat lalu.  

"Bagaimanapun, keadaan cuaca yang semakin baik dan keadaan air mula surut menyebabkan 15 mangsa dari empat keluarga sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, petang semalam," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.  

Ab Han berkata, walaupun jumlah mangsa sudah berkurangan, pihaknya akan terus memantau situasi banjir di daerah terbabit dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mendapat perlindungan sekiranya keadaan banjir berlaku kelak. 

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Segamat, Mohd Nazlan Ruslan, berkata seramai 25 mangsa daripada lima keluarga masih ditempatkan di Balai Raya Gemereh 4 di Segamat, sejak kelmarin. 

"Kami masih memantau keadaan cuaca dan banjir di kawasan berkenaan. Sekiranya keadaan semakin baik, kemungkinan pusat pemindahan akan ditutup, sebelum membenarkan penduduk pulang ke kediaman masing-masing," katanya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Tinggi, Mohamad Asnizam Tukiman, berkata pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Lepau, di Pengerang pula dibuka pada jam 9 pagi, semalam berikutan Kampung Lepau dinaiki air. 

"Berikutan hujan lebat sejak malam kelmarin, air mula naik di kawasan kampung berkenaan setinggi 1.3 meter sehingga memaksa enam mangsa dari tiga keluarga berpindah ke pusat pemindahan berkenaan," katanya.

Berita Harian X