Ahad, 3 Januari 2016 | 4:26pm

Projek Bandar Malaysia jana pulangan kepada Johor


MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berucap pada Majlis Gerak Mesra Perdana 2015 Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - Foto Mohd Azren Jamaluddin

PASIR GUDANG: Pembabitan syarikat Johor dalam Projek Bandar Malaysia di Kuala Lumpur dilihat mampu memberi pulangan kewangan seterusnya dapat dimanfaatkan kepada rakyatnya.

  Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia adalah satu peluang bagi Johor dan daripada keuntungan yang dijana dapat di bawa pulang ke negeri ini bagi tujuan pembangunan yang boleh dimanfaatkan semua.

  Katanya, beliau tidak melihat pembabitan dalam Projek Bandar Malaysia itu satu kesilapan kerana selaku pemegang saham dalam Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH), kerajaan negeri melihat ia sebagai peluang untuk Johor.

  "Ia (Projek Bandar Malaysia) adalah tender terbuka antarabangsa. Kita (kerajaan negeri) masuk dan kebetulan berjaya mendapatkan tender berkenaan. Ia peluang bagi Johor.

  "Jadi apa salahnya kerajaan negeri menerusi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dalam IWH terbabit dalam pembangunan di Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya hasil dan keuntungan boleh dibawa balik dan boleh buat perkara yang beri kesejahteraan pada rakyat Johor," katanya.

  Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Gerak Mesra Perdana Majlis Perbandaran Pasir Gudang 2015 dan perasmian Dewan Taman Scientex di Taman Scientex, di Pasir Gudang, semalam.

  IWH yang juga pemaju utama bagi bahagian Flagship A Koridor Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Iskandar adalah perkongsian awam-swasta antara Credence Resource Sdn Bhd (60 peratus) dan KPRJ (40 peratus), yang dimiliki oleh kerajaan Johor.

  Khamis lalu, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), melaksanakan Perjanjian Jual Beli Saham dengan menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

  Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda, berkata konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd adalah hasil usahasama 60:40 antara IWH an CREC.

    "Konsortium terbabit menilai penuh 100 peratus tanah Bandar Malaysia pada harga RM12.35 bilion. Nilai bersamaan 60 peratus tanah adalah RM7.41 bilion dan 1MDB dan menerima deposit 10 peratus atau RM741 juta selepas pelaksanaan perjanjian. Urus niaga transaksi ini dijangka lengkap menjelang hujung Jun tahun depan," katanya.

Berita Harian X