Ahad, 3 Januari 2016 | 4:22pm

Kontroversi Shiha, pereka fesyen hanya salah faham


PENYANYI, Shiha Zikir. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shiha Zikir, 28, mendakwa isu mengaitkan dirinya dengan seorang pereka fesyen seperti disiarkan sebuah media hari ini hanyalah berpunca daripada salah faham.

Dalam artikel disiarkan media terbabit, Shiha yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan D'Academy Asia di Indonesia, baru-baru ini, dikatakan meminta pelbagai perkara membabitkan baju rekaan seorang pereka fesyen.

Menurutnya, sebaik saja menyedari penyiaran artikel itu, beliau turut menghubungi pereka berkenaan bagi meminta penjelasan.

Katanya kepada BH Online, pereka terbabit juga sudah memohon maaf kepadanya. Namun begitu, Shiha tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa apabila perkara sedemikian berlaku.

"Shiha tidak marah dengan isu itu. Begitupun, tipulah kalau Shiha tak rasa kecewa kerana inilah perkara yang Shiha cuba elak selama ini.

"Kalau boleh Shiha ingin menjaga hubungan baik dengan semua pihak yang memainkan peranan dalam industri hiburan kita, termasuk pereka fesyen. Kalau mampu, Shiha sendiri ingin membantu mempromosikan baju pereka kita.

"Cuma dalam kes pereka itu, bukanlah Shiha yang meminta penajaan daripadanya. Sebaliknya beliau yang berminat mahu menyediakan pakaian rekaannya ketika pertandingan D'Academy Asia berlangsung. Tambahan pula ketika terbabit dalam rancangan itu, penganjur sudah menyediakan baju untuk peserta kerana aspek pakaian turut diambil kira dari segi markah.

"Bahkan sebelum ke Jakarta, Shiha ada menerima penajaan daripada pereka fesyen lain. Dalam hal ini, Shiha sudah berbincang dengan beberapa pereka, termasuk mendapatkan ukuran sebenar sebelum bertolak ke Indonesia," katanya.

Menjelaskan apa yang berlaku, Shiha memberitahu, pereka berkenaan datang ke Jakarta tanpa pengetahuan dirinya sekitar Disember lalu.

"Sewaktu latihan diadakan di Jakarta, beliau ada mengambil ukuran badan Shiha. Cuma sedari awal, Shiha sudah maklumkan kepadanya, beliau tak boleh berharap baju rekaannya akan dipakai. Shiha juga berpesan kepadanya, Shiha tidak mahu baju terdedah dan seksi," katanya.

Kata Shiha lagi, bulan lalu, beliau pulang ke negara ini selama empat hari bagi melunaskan beberapa komitmen seni.

"Dalam kesibukan kerja selain berlatih sendiri menghafal lagu yang akan dinyanyikan pada pertandingan terbabit, pereka fesyen itu mahu menghantar baju rekaannya. Atas niat membantu kawan, biarpun dalam jam 1 pagi dan esoknya harus ke lapangan terbang untuk ke Jakarta, Shiha menerima kunjungan beliau. Shiha hargai pengorbanan dan niat baiknya.

"Beliau juga ada membawa beberapa baju rekaannya untuk Shiha pilih. Cuma sayangnya, baju yang diberikan itu terlalu besar potongannya.

"Berikutan semuanya terjadi pada minit akhir, maka Shiha tidak sempat untuk mencubanya dan melakukan pengubahsuaian. Shiha juga mohon maaf kepadanya sebab tak dapat pakai baju rekaannya pada D'Academy Asia. Shiha kata padanya, insya-Allah ia boleh pakai pada acara lain," kata Shiha.

Pada pertandingan terbabit, Shiha yang digelar sebagai Rossa Malaysia memenangi tempat ketiga untuk membawa pulang wang tunai RM15,000. Pada 10 Januari ini, Shiha akan kembali terbang ke Indonesia bagi mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat negara itu untuk mengeluarkan single terbaharu.

53 dibaca
Berita Harian X