Ahad, 3 Januari 2016 | 2:37pm

Najib selesai tunai umrah malam tadi


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak selesai menunaikan umrah, lewat malam tadi. - Foto Twitter Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Arab Saudi selesai menunaikan ibadah umrah, lewat malam tadi.

Dalam lawatan singkat itu, Perdana Menteri juga sempat meluangkan masa makan tengah hari bersama rakyat Malaysia ketika berkunjung ke Restoran FELDA D'Saji di Jeddah.

"Makan tengah hari bersama rakyat Malaysia di restoran FELDA D'Saji di Jeddah. Walau di mana kita berada, makanan Malaysia tetap di hati," katanya menerusi laman Facebook.

Selain bertemu lebih 200 orang pelajar Malaysia di Universiti Madinah di Hotel Holiday Villa Madinah, beliau turut bertemu golongan profesional Malaysia di tempat sama.

Dalam kunjungan ke Madinah yang turut diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, beliau juga akan ke Knowledge Economic City dan Dar Al Madinah Urban and Built Heritage Museum.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa.

Najib dijadual berangkat pulang ke tanah air selepas tamat lawatan ke Madinah.

11 dibaca
Berita Harian X