Ahad, 3 Januari 2016 | 9:21am

Azizulhasni cari slot ke Olimpik Rio


PELUMBA basikal negara, Azizulhasni Awang. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Nama Azizulhasni Awang dan Muhd Shah Firdaus Sahrom disenaraikan untuk menyertai Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Jepun yang dijadual berlangsung dua minggu lagi.

Selain peserta Sukan Olimpik London 2012 dan bintang meningkat naik itu, turut disenaraikan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ialah Fatehah Mustapa dan Jupha Somnet.

Antara lain, badan induk sukan itu juga menyenaraikan Muhd Fadil Mohd Zonis, Mohd Shariz Efendi Mohd Shahrin, Muhd Khairil Nizam Rasol, Muhd Zawawi Azman dan Mohd Afiq Huznie Othman.

Medan kejohanan di Shizuoka yang bermula dari 26 hingga 30 Februari itu menjadi tumpuan utama buat pelumba elit - Azizulhasni, Fatehah dan Jupha - bagi memburu mata kelayakan ke Olimpik Rio, pertengahan tahun ini.

Azizul atau dikenali sebagai 'The Pocketrocketman' dan Shah Firdaus dijadual menyertai tiga acara iaitu keirin, pecut dan pecut berpasukan.

"ACC adalah satu kejohanan tahunan yang saya sertai. Syukur (dapat menyertainya) kerana kejohanan ini penting untuk saya mendapatkan mata dalam acara pecut bagi melayakkan diri ke Olimpik," kata Azizulhasni semalam.

Selain ACC 2016, Azizulhasni, Fatehah dan Jupha berbaki dua perlumbaan bagi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Brazil iaitu Piala Klasik Dunia Hong Kong pada 16 hingga 17 Januari ini.

Satu lagi medan untuk tiga pelumba elit itu mencari slot ke Olimpik Rio ialah di Kejohanan Dunia Basikal Trek UCI yang dijadual berlangsung di London, 2 hingga 6 Mac ini.

Berita Harian X