Sabtu, 2 Januari 2016 | 10:11pm

Tiada hal buat banyak kerja

KUNTA Kinte kata, kerjalah dua, tiga atau empat pekerjaan sekali gus asalkan ada tenaga dan dapat hasil halal. Tapi kalau tak ada daya, kerjalah satu, tapi syarat halal.

Cerita orang kita buat dua, tiga atau empat kerja sehari cari rezeki halal bukan perkara baru. Cuma cara orang kata atau buat cadangan yang sebabkan banyak orang tak suka.

Bila kita kerja bagus, gaji besar dan macam-macam habuan dapat, mudahlah nak suruh orang ikut kita. Tapi bukan semua orang pandai dan nasib baik macam kita. Itulah orang marah. Zaman Kunta Kinte kanak-kanak dan remaja di kampung pada tahun 1950-an dan 1960-an, orang banyak yang susah. Jadi kena buat kerja apa saja selagi terdaya dan halal untuk cukup makan.

Suatu waktu arwah ayah Kunta Kinte buat bendang dan buka kedai runcit. Kedai runcit tutup dia kerja di kilang beras. Kemudian dia buka kedai beli getah dan akhir sekali berniaga daging bawah pokok. Sawah tetap dia buat.

Kita anak-anak tolong mana yang boleh bila balik sekolah atau masa sekolah cuti. Masa itu mak, bapa tak bawa anak-anak melancong. Tak mampu dan tak pernah dengar perkataan melancong pun. Televisyen tak ada. Kalau nasib baik, adalah radio gelombang pendek dan sederhana. Malas dan curi tulang hidup susah. Nak makan pun tak cukup. Jadi pencuri masuk lokap atau kena bunuh oleh orang kampung. Zaman itu pun dah ada ciri-ciri rasuah tapi orang panggil tumbuk rusuk dan tak berapa teruk.

Gaya hidup berubah

Yang jadi masalah sekarang adalah cara cari makan dan gaya hidup dah berubah akibat kemajuan ekonomi. Majoriti hidup makan gaji. Kalau Bumiputera, majoriti kerja tetap dengan kerajaan. Tak payah susah hati. Dapat gaji ada pencen. Orang lain kena buang kerja atau beku kenaikan gaji sebab ekonomi merosot, pekerja kerajaan selamat.

Masa ekonomi baik atau dekat pilihan raya umum dapat pula bonus dan semakan gaji. Jadi pekerja sektor awam tak pernah rasa susah atau hadapi ancaman hilang kerja. Tak hairanlah kalau mereka manja dan asyik tuntut kenaikan gaji.

Yang jadi masalah sekarang bukan sangat gaji atau kurang pekerjaan, tapi kos sara hidup yang naik cepat sangat dalam masa yang singkat.

Kerja memang banyak di negara kita. Cuma orang kita sama ada pilih kerja, nak kerja ringan, tak mahu kerja berat dan kotor atau tak ada kemahiran yang sesuai.

Tapi bagi pekerja asing yang tak ada kerja dan papa kedana di negara mereka, Malaysia adalah syurga. Sebab itulah mereka berpusu-pusu datang secara halal, haram, makruh dan sunat ke negara kita. Boleh kata tak ada bangsa di dunia yang tak ada di negara kita sekarang kecuali, boleh jadi, orang Eskimo.

Masalah kita sekarang ialah harga. Harga barang dan perkhidmatan naik terlalu cepat dan besar dalam masa tak sampai satu atau dua tahun kerana faktor dalam dan luar negara. Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) April lepas, kejatuhan nilai ringgit dan rizab mata wang negara, pembatalan subsidi, kenaikan kadar tol dan tambang pengangkutan awam serta kawalan harga yang lemah semuanya sumbang kepada peningkatan kos sara hidup.

Pendapatan yang dulu cukup, sekarang dah tak cukup. Bagi golongan pendapatan rendah dan miskin yang kerja sendiri lagi teruk sebab harga keluaran ladang macam getah dan sawit dah banyak tahun merosot. Walaupun kerajaan tolong melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), tapi jumlahnya tak cukup untuk tampung kenaikan kos keseluruhannya. Jawapan kepada masalah kita adalah ekonomi yang lebih produktif dan tahap keyakinan pelabur serta pengguna yang lebih tinggi.

Pikat keyakinan pelabur, pengguna

Kalau pelabur dan pengguna tak yakin, mereka tak akan melabur dan berbelanja. Kalau mereka tak melabur dan berbelanja, ekonomi tak akan berkembang. Inilah masa kita sangat-sangat perlukan keyakinan pelabur dan pengguna sebab kerajaan sedang hadapi masalah hasil sebab harga petroleum terus merudum.

Dalam Bajet 2016, kerajaan anggar harga minyak mentah AS$48 (RM206.23) satu tong bagi tahun ini tapi dah jatuh sampai AS$35 (RM150.37).

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, kita kena percaya juga kepada soal berkat tak berkat, untung dan sial serta bala dan balasan dalam kehidupan kita sebab dengan cara tiba-tiba saja segala masalah timpa kita. Wallahuaklam.

E-mel ke rencanabh@bh.com.my untuk berkongsi pendapat anda

Berita Harian X