Sabtu, 2 Januari 2016 | 10:00am

Pahang tak perlu khidmat Nwakaeme, Conti, Stewart

KUANTAN: Penyerang kelahiran Nigeria, Dickson Nwakaeme tidak diperlukan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) apabila tidak disenaraikan dalam skuad Tok Gajah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Selain Nwakaeme, penyerang dari Argentina, Matias Conti dan pertahanan kental dari Jamaica, Damion Stewart pula memilih beraksi dalam saingan liga negara masing-masing selepas kontrak mereka tidak disambung persatuan itu.

Hanya khidmat pemain kelahiran Pakistan, Zesh Rehman yang beraksi di bahagian tengah dikekalkan untuk musim ketiga sejak 2014 bagi memperkasakan skuad Tok Gajah.

Masa depan Nwakaeme di Liga M juga tidak dapat dipastikan walaupun penyerang berusia 30 tahun itu menjadi rebutan beberapa pasukan untuk mendapatkan khidmatnya musim ini.

Sejak kehadiran dalam pasukan Pahang selama dua musim iaitu pada 2014 dan 2015, Nwakaeme membuktikan dia adalah penyerang yang cukup berbisa apabila membantu Pahang menjulang tiga piala utama iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2014.

Biarpun gagal membantu Pahang mengulangi kejayaan sama musim lalu, kehadiran Nwakaeme tetap digeruni pemain pertahanan itu banyak memperkasakan jentera serangan skuad Tok Gajah.

BH Sukan difahamkan, PBNP terpaksa melupakan khidmat Nwakaeme yang juga digelar `Orang Besi' itu kerana mahu mendapatkan sentuhan pemain import baharu.

Apa pun pengesahan ketiga-tiga pemain import terbabit tidak akan menyertai skuad Tok Gajah akan diumumkan PBNP bersama senarai rasmi pemain Pahang di sini, esok.

Pengendali Tok Gajah, Ahmad Shaharuddin Rosdi ketika diminta mengulas mengenai kedudukan tiga pemain import terbabit berkata, pengesahan muktamad status pemain yang akan menyarung jersi Pahang musim ini akan hanya diumumkan esok.

"Tunggu dan lihat, kami akan umumkan barisan pemain Pahang, esok selepas beberapa perbincangan yang dilakukan untuk memastikan skuad Tok Gajah mampu memberi saingan pada musim ini," katanya.

Sebelum ini, lima pemain utama skuad Tok Gajah yang tidak lagi bersama pasukan itu musim ini ialah Mohd Razman Roslan, Mohd Hafiz Kamal, R Gopinathan, Khairul Azhan Mohd Khalid dan Azamuddin Mohd Akil.

422 dibaca
Berita Harian X