Sabtu, 2 Januari 2016 | 12:05am

Udang mayonis pedas bersama telur puyuh


ROTI mini berisi udang mayonis dan telur puyuh lazat, mudah disediakan.

HIDANGAN minum petang yang lazim disediakan ialah pisang goreng atau kuih-muih tradisional kuih.

Minggu ini, Aroma Kulinari memaparkan kelainan dengan menyediakan hidangan minum petang yang ringkas, lazat dan sihat, iaitu udang mayonis pedas bersama telur puyuh.

Menu unik ini bukan saja boleh dinikmati bersama keluarga, malah kanak-kanak pasti menggemarinya kerana ia dihidangkan bersama roti mini yang cukup comel.

Bentuk sajian ini yang kelihatan seperti mini burger mudah dimakan dan kelihatan menarik untuk dihidangkan.

Cef Muhammad Irfan Abdul Malek, berkata kelainan pada menunya ialah menggunakan gabungan udang dan telur puyuh untuk memberikan rasa yang cukup istimewa.

Katanya, biasanya individu menggunakan telur ayam dalam menu sebegini, tetapi untuk hidangan berbeza dan sihat, beliau menggantikannya dengan telur puyuh.

Telur puyuh adalah sumber protein yang terbaik. Jika dibandingkan dengan telur ayam, telur puyuh mempunyai protein yang lebih tinggi dan ia mudah dicernakan.

Selain protein, telur puyuh juga mengandungi lemak, vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan tubuh.  

Sajian mudah dan ringkas

Cef Muhammad Irfan berkata, beliau mempelbagaikan hidangan makanan yang ringkas, mudah dan cepat disediakan.

"Ternyata menu ini antara sajian yang digemari pengunjung di The Peak@twins, Zebra Square. Hidangan ini bukan saja berkhasiat, malah cukup lazat. Sekiranya anda mempunyai tetamu yang bertandang ke rumah, sajian ini juga sangat sesuai untuk dihidangkan.

"Bagi saya tiada batasan untuk menghasilkan hidangan mengikut kreativiti, malah hidangan seperti ini mudah memikat selera sesiapa pun," katanya.

Terima kasih Cef  Muhammad Irfan Abdul Malek dari The Peak@twins, Zebra Square, Kuala Lumpur.

Bahan A:

- Udang tanpa kulit - 200 gram (g)

- Lobak merah - 50g

- Saderi - 50g

- Bawang perai - 50g

- Bawang merah 20g

- Bawang putih 10g

- Air 500 mililiter (ml)

- Telur burung puyuh - 4 biji 

Bahan B - diperap

- Mayonis - 2 sudu

- Sos cili - 2 sudu

- Tabasco - 1 sudu

- Sos - 1 sudu

- Air limau purut - 1 sudu

- Garam secubit 

- Lada putih secubit 

Caranya:

1. Panaskan air dan masukkan semua bahan A di atas untuk membuat stok. 

2. Selepas air mendidih, masukkan udang. Biarkan selama empat minit.

3. Keluarkan udang yang dimasak dan cincang kasar.

4. Masukkan semua bahan B, ke dalam mangkuk dan gaul sehingga sebati.

5. Telur burung puyuh di goreng separuh masak.

6. Hiaskan sajian dengan menggunakan roti yang dipotong bulat, letakkan udang yang di perap diikuti dengan telur burung puyuh.

Berita Harian X