Jumaat, 1 Januari 2016 | 2:37pm

Wanita maut kereta hilang kawalan


KEADAAN kereta yang dipandu Nursheda yang remuk dalam nahas di Kilometer 299.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di Kampar. - Foto ihsan PDRM

KAMPAR: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik di Kilometer 299.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Nursheda Asyikin Zubir, 22, berasal dari Telok Panglima Garang, Selangor, menaiki kereta jenis Toyota Vios bersama tiga lagi rakannya sedang dalam perjalanan menuju ke arah Ipoh.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata tiga rakan mangsa iaitu dua lelaki dan seorang wanita bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh dan apabila sampai di tempat kejadian, ia hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan terbalik.

"Akibat kemalangan itu, pemandu kenderaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kong Soon berkata, bedah siasat dijalankan jam 10.30 pagi tadi dan jenazah akan diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan.

30 dibaca
Berita Harian X