Khamis, 31 Disember 2015 | 8:48pm
SEORANG lelaki berdepan detik cemas apabila tercekik gigi palsu ketika bersarapan bersama isteri di rumahnya di Jalan Buloh Kasap, Segamat, semalam. - Foto hiasan

Tercekik gigi palsu ketika sarapan

SEGAMAT: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila tercekik gigi palsu ketika bersarapan bersama isteri di rumahnya di Jalan Buloh Kasap di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Julaiman Adon, 52, pada mulanya disangka diserang sakit jantung kerana mengalami kesukaran bernafas.

Isterinya, Saiyah Abdullah, 48, berkata suaminya yang sedang makan nasi berlauk telur goreng dan sayur, tiba-tiba tersedak dan meminta segelas air kosong.

"Selepas minum air beberapa teguk, Julaiman mengadu susah bernafas. Apabila saya memeriksa dalam mulutnya, baru saya tahu dia sebenarnya tercekik gigi palsunya," katanya.

Berikutan itu, Julaiman dikejarkan ke Hospital Segamat.

Sebaik tiba di hospital, pegawai perubatan yang memeriksa mengesahkan gigi palsu Julaiman sepanjang kira-kira dua sentimeter tersekat di rongga kerongkong.

Doktor berjaya mengeluarkan gigi palsu berkenaan beberapa minit kemudian.

Saiyah berkata, walaupun tidak membabitkan pembedahan ketika mengeluarkan gigi palsu itu, suaminya ditahan di wad semalaman bagi membolehkan doktor membuat pemantauan.

Berita Harian X