Khamis, 31 Disember 2015 | 4:49pm

Akim, Stacy dan Hafiz antara artis terkenal naik pelamin 2016

KUALA LUMPUR: Tahun 2016 bakal membuka tirainya dengan coretan warna-warni perkahwinan barisan artis popular tempatan.

Memberi hak eksklusif kepada Media Prima untuk membuat liputan perkahwinannya, pelakon jelita, Anzalna Nasir, 27, bakal disatukan dengan pilihan hati, Mohamad Hanif Mohamad Zaki, 27, pada 21 Februari depan di Masjid Negara, di sini.


ANZALNA Nasir dan Mohamad Hanif Mohammad Zaki. - Foto Zunnur Al Shafiq

Hubungan cinta Anzalna dan Mohamad Hanif, yang disemai selama lima tahun itu, bakal dikongsi bersama penonton stesen nombor satu negara.

TV3 bakal menyiarkan detik indah majlis persandingan mereka, yang akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, pada 27 Februari.

Beberapa program seperti Mahligai Cinta, Nona, Wanita Hari Ini dan Melodi akan turut memuatkan paparan menarik mengenai majlis pasangan terbabit.

Pasangan bintang kelahiran Akademi Fantasi (AF), iaitu Ummu Shaikhah Stacy Anam, 25 dan Akim Ahmad, 24, bakal melangsungkan pernikahan pada Februari tahun depan di Sabah.


AKIM Ahmad dan Ummu Shaikhah Stacy Anam. - Foto Zunnur Al Shafiq

Mereka memilih untuk mengadakan majlis persandingan berskala sederhana, atas permintaan keluarga, di kedua-dua tempat iaitu Sabah dan Johor.

Majlis berkenaan akan diserikan dengan kehadiran sahabat karib, sanak-saudara dan peminat.

Selain itu, teman rapat Akim, Hafiz Suip, yang mengikat tali pertunangan pada 28 Februari lalu di negeri kelahirannya, Sarawak, bakal memasuki gerbang perkahwinan pada pertengahan tahun hadapan.


Hafiz Suip dan Nureffy Jasreel Abdullah. - Foto Jeakqleyn Yacho

Bagaimanapun, sehingga kini, penyanyi lelaki berusia 25 tahun itu belum mendedahkan secara lanjut mengenai majlis persandingannya dengan Nureffy Jasreel Abdullah, 22.

Tarikh perkahwinan pula dipilih bertepatan dengan status tunang Hafiz yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun, turut merancang untuk mengakhiri zaman bujangnya pada 2016.


HAFIZ Hamidun dan Adiela Ridzuan.

Beliau memilih model Muslimah, Adiela Ridzuan, sebagai suri yang bakal menyinari hidupnya.

Kata Hafiz, beliau berharap dapat menjadi seorang suami sebelum Aidilfitri tahun hadapan.

Difahamkan beberapa lagi selebriti yang sedang hangat menjalinkan hubungan cinta juga bakal menaiki pelamin pada 2016.

Berita Harian X