Sabtu, 11 Oktober 2014 | 4:49pm

Formula perkongsian kuasa BN perlu diatur semula - Pemuda MCA


PENGERUSI Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin (dua dari kanan) merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menerima cenderahati daripada Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon (dua dari kiri) dengan disaksikan oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong (tengah) ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda MCA Ke-50 di sini, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR : Pemuda MCA berpendapat formula asas perkongsian kuasa Barisan Nasional (BN) perlu diatur semula.

Ketuanya, Senator Chong Sin Woon, berkata ia bagi membolehkan semangat berkongsi kuasa yang diamalkan semua parti komponen dalam BN selama ini dapat dilaksana dan diterjemah sepenuhnya.

"BN adalah satu formula politik yang paling sesuai digunakan di negara majmuk seperti Malaysia, cuma formula asas BN mungkin perlu diatur semula," katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA Ke-50 di sini, hari ini.

Justeru, bagi mencapai hasrat itu, beliau menjelaskan perubahan dalam kepemimpinan Pemuda perlu dianjakkan menjadi sebuah pakatan politik yang relevan, moden, liberal dan pragmatik.

"Kami menaruh harapan (Pengerusi Pemuda BN) Khairy Jamaluddin dapat membawa perubahan dalam kepemimpinan Pemuda BN.

"Khairy adalah pemimpin generasi baharu yang kami harapkan akan membawa budaya politik bhaaru yang menegaskan meritokrasi dan pencapaian keseluruhan tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini," katanya.

Dalam ucapannya juga, Sin Woon turut menganggap bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil lebih majmuk berbanding Sekolah Kebangsaan.

Malah, beliau menjelaskan kewujudan SJK Cina dan Tamil bukanlah batu penghalang kepada perpaduan negara.

"Sekiranya kita melihat isu ini secara waras, objektif dan berwawasan, pendidikan bahasa Cina bukan lagi membabitkan orang Cina semata-mata, (malah) murid bukan Cina yang belajar di SJKC juga meningkat sebanyak 12 peratus.

"Isu pendidikan sekolah Cina ini tidak seharusnya dijadikan isu politik kerana bahasa Cina sudah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam dunia perdagangan dan sektor ekonomi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong, pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan sayap parti itu, berkata SJKC tidak akan dimansuhkan kerana ia sudah terkandung dalam janji manifesto BN, selain usaha pembangunan infrastruktur serta muridnya juga sudah dimasukkan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Berita Harian X