Khamis, 31 Disember 2015 | 10:39am

1MDB jual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia


PRESIDEN dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini melaksanakan Perjanjian Jual Beli Saham dengan menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda, berkata konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd adalah hasil usahasama 60:40 antara IWH an CREC.

"IWH yang juga pemaju utama bagi bahagian Flagship A Koridor Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Iskandar adalah perkongsian awam-swasta antara Credence Resource Sdn Bhd (60 peratus) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (40 peratus), yang dimiliki oleh kerajaan negeri Johor.

"Konsortium terbabit menilai penuh 100 peratus tanah Bandar Malaysia pada harga RM12.35 bilion. Nilai bersamaan 60 peratus tanah adalah RM7.41 bilion dan 1MDB dan menerima deposit 10 peratus atau RM741 juta selepas pelaksanaan perjanjian.

"Urus niaga transaksi ini dijangka lengkap menjelang hujung Jun tahun depan," katanya pada majlis menandatangani perjanjian urus niaga, di sini, sebentar tadi.

Turut menyaksikan majlis terbabit, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Berita Harian X