Khamis, 31 Disember 2015 | 7:19am

Penyokong bakar mercun, Perak didenda RM15,000

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dikenakan denda RM15,000 atas tindakan penyokongnya membakar mercun ketika pasukan itu menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh pada 5 November lalu.

PAFA terpaksa membayar denda itu selepas didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam, kerana melanggar Artikel 70 para 1 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan tanggungjawab bagi kelakuan penonton.

Jumlah denda itu dikenakan mengikut Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015, iaitu kesalahan berulang. Persatuan itu turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Nasib sama turut menimpa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berikutan tindakan liar penyokong mereka yang membakar suar serta mercun ketika berdepan Lions XII pada 4 November lalu.

PBSNT didenda sebanyak RM12,000 selepas didapati bersalah mengikut artikel sama yang dikenakan ke atas PAFA dan mereka turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Johor Negeri Johor (PBNJ) boleh menghela nafas lega apabila hanya didenda RM5,000 selepas perbuatan penyokongnya menceroboh masuk ke dalam padang selepas perlawanan bertemu FELDA United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 22 Ogos lalu.

Jumlah itu dikenakan gara-gara tindakan melanggar Artikel 70 para 2 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan tanggungjawab bagi kelakuan penonton.

Berita Harian X