Khamis, 31 Disember 2015 | 6:45am

Filem berjiwa Islam perlu ditambah

SEJAK 2005 hingga kini, lebih 300 filem diterbitkan di negara ini, tetapi hanya sedikit yang mengangkat Islam sebagai tema dan persoalan utama. Perspektif Islam belum menerjah ke dalam minda dan budaya kerja pembikin filem Malaysia. Berdasarkan filem yang diterbitkan, hanya ada sedikit filem menyelitkan unsur Islam secara langsung.

Berasaskan negara Islam dan mempunyai majoriti masyarakat Islam, tidak salah jika filem Islam atau filem berunsur Islam diselitkan sebagai satu lagi genre utama dalam kamus karyawan tempatan. Penerapan mesej dan isu sosial menerusi filem dijadikan platform dakwah kepada masyarakat. Genre filem Islam membuktikan keindahan Islam bersifat sempurna, saling lengkap melengkapi menyelesaikan isu kehidupan.

Menjadikan Indonesia sebagai rujukan, kejayaan filem Ayat-Ayat Cinta (2008) yang diadaptasi dari novel popular Habiburrahman berjaya menawan hati penonton. Menerusi filem kedua Ketika Cinta Bertasbih (2009) juga dari adaptasi novel Habiburahman El - Shirazy terus mendapat sambutan pecah panggung dan menjadi fenomena di Indonesia juga di Malaysia.

Kejayaan filem Islam di Indonesia adalah hasil perjuangan pengkarya genre Islam di negara itu hampir 40 tahun di mana ia dimulakan dengan penerbitan Di Bawah Lindungan Kaabah (1978), filem arahan Asrul Sani daripada adaptasi novel agung Prof Hamka. Selain adaptasi novel tema cinta dan perjuangan wali Songo juga antara yang paling banyak diterbitkan.

Di celah-celah filem Islam itu, banyak lagi filem genre Islam dan dakwah muncul di Indonesia. Antaranya Sang Murabi, Sang Pencerah, Mengaku Rasul, Perempuan Berkalong Sorban, Kiamat Sudah Dekat, Laskar Pelangi, Syahadat Cinta dan 3 Doa 3 Cinta.

Sementara itu dalam konteks perfileman di Malaysia, peminat disajikan dengan beberapa filem yang boleh dikategorikan sebagai Islam sejak era 1950-an lagi. Sebagai contoh, Allahyarham Tan Sri P Ramlee pernah mengarah dan membintangi filem Semerah Padi pada 1956. Adegan filem itu antara lain memaparkan adanya elemen ajaran Islam - mengenakan hukuman sula terhadap pasangan berkahwin, tetapi berzina.

Perkara itu membuktikan sejak dunia perfileman Melayu mula bertapak di Singapura pada awal 1940-an sudah ada pengaruh Islam di dalamnya. Namun, ramai yang terus memperkatakan kesyumulan ajaran Islam yang cuba diterapkan kerana ia dikatakan belum sepenuhnya menepati kriterianya.

Walaupun mungkin filem Melayu seperti Semerah Padi (1956), Syukur 21 (2000), Syurga Cinta (2009), Dua Kalimah (2013) dan Ustaz Mu Tunggu Aku Datang (2013) adalah filem genre Islam di Malaysia, industri filem di Malaysia masih ketinggalan dibanding Indonesia.

Menghasilkan filem Islam harus dilihat dari sudut pengisian mesej yang bukan tempelan dalam penceritaan. Kita perlukan pengkarya terutama daripada kalangan penulis skrip yang ada fikrah untuk menerajui penerokaan dan penerbitan filem genre Islam ini seperti Indonesia mempunyai penulis skrip berwibawa seperti Habiburrahman.

Definisi filem Islam terbahagi kepada dua, iaitu filem Islam dan filem berkonsepkan Islam. Wujud kekeliruan takrifan filem Islam itu sendiri.

Memang ada perbezaan antara filem Islam dengan filem berkonsepkan Islam. Filem berkonsepkan atau berunsur Islam mengangkat persoalan Islam, sesuai dengan ajaran Islam, dan tidak semestinya keseluruhan filem itu berunsur Islam. Unsur Islam itu boleh jadi dalam bentuk perlambangan, sinematografi, semiotik, kontekstual, teknikal, pakaian, dramatik atau naratif.

Filem Islam

Filem Islam pula membawa mesej penyerahan, pengabdian, kepatuhan, dan kepercayaan kepada ajaran Allah sebagai Pencipta. Filem Islam adalah produk halal pada peringkat prapenerbitan, penerbitan dan pascapenerbitan selari dengan kod etika dan nilai Islam, termasuk dari segi pergaulan di tempat penggambaran dan pakaian pelakon.

Industri perfileman Malaysia masih tandus dan gagal menghasilkan karya berunsur Islam yang berkesan untuk berdakwah.

Kebanyakan naskhah Islam dalam konteks filem, persembahan teater mahupun konsert kurang mendapat perhatian masyarakat di Malaysia. Disebabkan itu, wujud persoalan sama ada bolehkah karya Islam itu dikatakan sebuah karya Islam jika masih ada unsur mungkar di dalamnya? Misalnya, pelakon wanita tidak tutup aurat ataupun lelaki dan wanita bukan mahram berpegang tangan?

Karyawan tempatan kini sudah cuba menghasilkan garapan idea seni berlandaskan susila Islam, termasuk penyampaian mesej mahupun pengajaran.

Asas penting penyampaian dakwah menerusi medium seni ini perlu beri implikasi positif kepada penonton dari segi mesej berlandaskan tauhid, tunduk dan penyerahan diri kepada agama Islam. Karyawan perlu mengenali Islam dengan sifat ad-din dan faham kehidupan sebenar dicerminkan dasar Islam.

Berita Harian X