Khamis, 31 Disember 2015 | 12:09am

Shah Rukh Khan 'kekasih dalam mimpi' Kilafairy

DUNIA Bollywood sememangnya sukar untuk dipisahkan daripada Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jahangir Khan, 23.

Anak bongsu penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil, ini sangat menyintai muzik dan filem dari India utara.

Bahkan, ketika sering mengikuti ibunya mengadakan persembahan, dia juga turut menyanyikan lagu Hindi sebagai hiburan buat khalayak.

Pendek kata, dia yang pernah mendapat jolokan Angelina Jolie Malaysia antara penggemar tegar filem Bollywood, terutamanya karya menampilkan aktor kegilaan ramai, Shah Rukh Khan.


KILAFAIRY berduet dengan penyanyi dari Singapura, Aliff Aziz menyampaikan lagu runut bunyi filem Dilwale bahasa Melayu, Warna Cinta.

Justeru, apabila dirinya dihulurkan peluang menyanyikan lagu runut bunyi filem Dilwale, yang kini hangat ditayangkan di pawagam, ia umpama orang mengantuk disorongkan bantal.

Dilwale ialah filem Hindi lakonan Shah Rukh dan Kajol, terbitan syarikat isteri aktor itu sendiri, Gauri Khan. Filem itu turut dibintangi Varun Dhawan, Kriti Sanon, Johnny Lever dan Varun Sharma.

Lagu berjudul Gerua itu dinyanyikan secara duet oleh Kilafairy dan penyanyi dari Singapura, Aliff Aziz.

Bagi pasaran Malaysia, lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Melayu dan diberi judul Warna Cinta.

Ia dirakamkan beberapa minggu lalu dan difahamkan, mereka hanya mengambil masa dua jam untuk menjalani proses terbabit di studio.


PEMBABITAN dalam Dilwale adalah pencapaian peribadi terbesar bagi Kilafairy. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

"Tawaran menyanyikan lagu itu datang daripada pihak Sony Music. Saya dimaklumkan, ia dipersembahkan pihak Sony Music India kepada cawangan di Malaysia.

"Kemudian, beberapa penyanyi disenarai pendek untuk menyanyikan lagu terbabit bagi versi Melayu. Akhirnya, rezeki berpihak kepada saya dan Aliff.

"Kami menyiapkan lagu itu dalam tempoh dua minggu sebelum tayangan perdana Dilwale diadakan di negara ini. Ia termasuk dengan video muzik sekali.

"Saya juga dimaklumkan, semua rakaman dihantar terlebih dulu ke India untuk disunting dan mendapat pengesahan daripada pihak di sana. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar," katanya.

Ketika dihubungi BH Plus, baru-baru ini, Kilafairy berada di Kelantan kerana terbabit dalam penggambaran telefilem, Mek Kelate.

Ditanya mengenai kerjasama bersama gandingannya, Aliff, gadis manis ini berkata, ia pengalaman yang menyeronokkan.


KILAFAIRY antara penggemar tegar filem Bollywood, terutamanya karya menampilkan Shah Rukh Khan. - Foto Munira Abdul Ghani

"Cukup senang bekerja dengan Aliff. Kami sangat terbuka dalam soal pendapat, selain membantu sesama sendiri. Ia penting untuk mencipta keserasian kerana ia juga gandingan sulung antara kami.

"Aliff seorang yang sangat profesional. Sikapnya itu memudahkan kerja, sekali gus melancarkan proses rakaman," katanya.

Kata Kilafairy, jika diberi peluang, sejujurnya dia mahu menyanyikan lagu terbabit dalam bahasa asal, Hindi. Namun sedar, peluang yang datang tidak wajar dilepaskan begitu saja.

"Ikut rasa hati, memang nak saja menyanyikan lagu Gerua versi asal. Bagaimanapun, mereka sudah mempunyai penyanyi asal. Jadi, memang semua itu hanya angan-angan.

"Bagaimanapun, menjadi sebahagian daripada projek istimewa ini, yang juga pencapaian peribadi terbesar, ia sudah membuatkan saya bersyukur. Malah, saya terharu ada yang sukakan lagu versi saya dan Aliff," katanya.

Artis ini turut berkata, pada mulanya dia beranggapan Dilwale ialah judul susulan kepada filem terbitan tahun 1995, Dilwale Dulhania Le Jayenge, yang turut menampilkan dua bintang tersohor itu.


SHAH Rukh sebenarnya kekasih saya, ..tetapi dalam mimpi ...Kilafairy. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Rupa-rupanya, ia dua filem berbeza. Begitupun, sinematografi dan penggunaan warna dalam filem itu sangat cantik.

"Saya memang sukakannya. Lagunya juga membuai rasa. Plot ceritanya juga tidak dapat diagak," katanya yang berkesempatan menonton filem terbabit sekali saja setakat ini.

Sebagai penggemar kedua-dua pelakon berkenaan, Kilafairy teruja menonton gandingan semula bintang kesukaan ramai itu.

"Kajol tidak dinafikan sangat cantik dan bakatnya pula usah diragui. Keserasian antaranya dengan Shah Rukh juga tidak dapat dinafikan.

"Shah Rukh pula sebenarnya kekasih saya. Tetapi, dalam mimpi sajalah. Saya tonton Dilwale ini pun kerana dia. Dia masih 'hot' dan kacak pada usianya sekarang. Lakonannya pula memang tak pernah mengecewakan.

"Namakan saja filem Shah Rukh sebelum ini, memang saya tak pernah ketinggalan menontonnya," kata pelakon filem Karak ini sambil memberitahu, akan melancarkan beberapa single solo pada tahun depan.

Berita Harian X