Rabu, 30 Disember 2015 | 11:40pm

Saingan bola sepak 4 penjuru MUSA 10 Januari

MELAKA: Juara kelab-kelab Asia, Johor Darul Takzim (JDT) dan juara Piala Malaysia 2015 Selangor bakal menyertai kejohanan bola sepak empat penjuru anjuran Melaka United Soccer Association (MUSA) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput pada 10 hingga 20 Januari depan.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusuff Mahadi, berkata selain dua pasukan itu skuad liga perdana Negeri Sembilan dan tuan rumah Melaka United (MU) bakal bersaing selama 10 hari di Bandaraya Melaka.

Menurutnya, walaupun belum mendapat pengesahan rasmi (JDT) dan Selangor namun pada dasarnya kesemua pasukan sudah menyatakan persetujuan bagi memeriahkan kejohanan berkenaan.

Katanya, saingan terbabit memberi kesempatan buat pasukan (MU) menguji tiga import yang telah menandatangani kontrak sebelum ini malah ianya juga pentas mencuba kelibat seorang lagi pemain import dari Montenegro yang beraksi di barisan tengah.

"Kejohanan juga membolehkan skuad MU menguji prestasi dan persefahaman pasukan berdepan lawan hebat yang muncul juara kelab Asia (JDT) dan pemenang juara 33 kali piala Malaysia (Selangor) yang berwajah baru di bimbing jurulatih Zainal Abidin Hassan.

"Ianya juga turut membuka peluang peminat di Melaka menyaksikan kelibat bintang bola sepak Malaysia yang beraksi untuk skuad JDT dan Red Giant dengan harga tiket masuk RM10 setiap perlawanan berkenaan,"katanya.

MU bakal mengharungi saingan liga Perdana 2016 di bawah bimbingan jurulatih Mat Zan Mat Aris selepas lima musim bersaing di pentas Piala FAM.

Berita Harian X