Sabtu, 11 Oktober 2014 | 4:07pm

Bekas KSU Kementerian Kerja Raya meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya, Datuk Yahya Yaacob, 70, meninggal dunia di Hospital Beacon, Petaling Jaya di sini, hari ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 8.30 pagi di sisi keluarganya dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zohor.

Menurut abangnya, Abdul Aziz, 74, arwah dikesan menghidap kanser paru-paru sejak dua tahun lalu dan arwah menerima rawatan di Hospital Pakar Damansara dan Hospital Beacon untuk rawatan susulan.

"Ketika dikesan penyakitnya berada di tahap empat, ketika itu pembedahan terpaksa dilakukan untuk membuang sebelah paru-parunya namun kanser itu merebak dan menyerang sebelah lagi paru-parunya pada awal tahun ini," katanya ketika ditemui Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya.

Allahyarham Yahya meninggalkan isteri, Arfah Daud, 66, lima orang anak serta sembilan cucu.

Allahyarham pernah menjawat KSU Kementerian Penerangan pada 1991 dan menamatkan perkhidmatan awam sebagai KSU Kementerian Kerja Raya pada 1999.

- BERNAMA

Berita Harian X